Follower

20090829

Hadis: Puasa Penyelamat Dari Api Neraka

Daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sahari dengan niat kerana Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.”
(al-Bukhari dan muslim)

Huraian:
Setiap orang yang berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan-amalan yang ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan. Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh meskipun sedikit tetap ada ganjarannya dan dinilai oleh Allah SWT. Ia menjadi saham yang boleh membantu manusia tersebut diakhirat kelak.



20090827

Kalau Dahi tak mencecah sejadah di dunia

Sudah Bersediakah Anda Ketika Dipanggil Pulang Oleh Allah SWT?!!!

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan!
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan!
Bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan!
Tutuplah rambutmu sebelum rambutmu ditutupkan!
Dengan kain kafan yang serba putih!
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih....
Walaupun orang yang hadir itu merintih.... .

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai....
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa....
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus....
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud....
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?

Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian....
Justeru ku menyeru sekelian Muslimin dan Muslimat....
Usunglah dirimu ke tikar Solat....
Sebelum kamu diusung ke liang lahad....
Menjadi makanan cacing dan mamahan ulat!

Iringilah dirimu ke masjid....
Sebelum kamu diiringi ke Pusara!
Tangisilah dosa-dosamu di dunia.....
Kerana tangisan tidak berguna lagi di alam baqa'!

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan!
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan.. ..
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan!
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan!
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal....
Bukan yang pergi!

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan!
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan!

Ingatlah di mana saja kamu berada.....
Kamu tetap memijak bumi Tuhan!
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan!
Serta menikmati rezeki Tuhan!
Justeru bila Dia menyeru,....
Sambutlah seruan-Nya Sebelum Dia....
memanggilmu buat kali yang terakhirnya!
Ingatlah kamu dahulu hanya....
setitis air mani yang tidak bererti!

Lalu menjadi segumpal darah!
Lalu menjadi seketul daging!
Lalu daging itu membaluti tulang!
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti....

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu....
Yang kalau jatuh ke tanah Ayam tak patuk itik tak sudu!
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu....
Yang lebih agung dari malaikat!

Lahirmu bukan untuk dunia....
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat!

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'....
Dengan penuh rela dan bersedia!
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'..
Jalan kemenangan akhirat dan dunia!

Ingatlah yang kekal ialah amal....
Menjadi bekal sepanjang jalan!
Menjadi teman di perjalanan. ..
Guna kembali ke pangkuan Tuhan!

Pada hari itu tiada berguna.
Harta, tahta dan putera....
Isteri, kad kredit dan kereta....
Kondominium, saham dan niaga....
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia!!!

20090823

KEAJAIBAN PERANG GAZA

UNTUK SAMA-SAMA KITA FIKIRKAN.... ......... .
Peristiwa 1
Seorang Ketua Mujahid Gaza berkata pada Ustaz Zaik bahawa, ketika satu pertempuran, komander mujahidin menyuruh pejuang tidak menembak kereta kebal Yahudi yang memasuki kawasan mereka. Dengan berbekalkan baki 6 RPG, tiba-tiba senjata ini menembak ke arah kereta kebal tersebut dan memusnahkan ia .. Komander itu menjerit agar tidak menembak dan para pejuang berkata mereka tidak melakukannya. Mereka berkata tiba-tiba senjata mereka berfungsi dan menembak sasaran. Setelah habis adegan aneh itu, para pejuang mendapati baki 6 RPG itu masih tidak digunakan! Dan siapakah yaNg menembak tentera laknatullah itu??? Allahu Akhbar!

Peristiwa 2
Temuramah bersama tentera Yahudi laknatullah oleh TV Israel yang cedera mengatakan bahawa mereka melihat pejuang Gaza kesemuanya berpakaian
putih sedangakan uniform pejuang Hamas bewarna hijau! Siapakah yang berbaju putih itu???

Peristiwa 3
Tentera Yahudi yang buta setelah serangan berkata mereka tiba-tiba dibaling pasir ke mata mereka dan tidak tahu siapakah yang melakukannya.

Peristiwa 4
Peluru berpandu yang pertama di lancarkan oleh Israel ke Gaza mengenai sasarannya iaitu anggota tentera mereka sendiri! Ia berpatah balik! Allahu Akhbar!

Peristiwa 5
Pada permulaan perang, roket-roket Hamas yang hendak dilancarkan, tiba -tiba salah satu roket itu meluncur laju ke udara tanpa ada sesiapa yang mengaktifkan ia. Dan roket itu mengenai sasaran di Israel !

Peristiwa 6
Yang paling menakjubkan, seorang ulama Syria telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW dan kelihatan baginda sedang mengeluarkan pedang dari sarungnya. Ulama itu berkata, "Wahai Rasulullah, ke mana kamu mahu pergi?", lalu baginda menjawab, "Aku mahu berperang di Gaza !!!".. MasyaAllah, Rasulullah sendiri mahu berperang di Gaza , di manakah kita? Itulah serba sedikit dari kisah takjub yang sempat diceritakan oleh al-fadhil Ustaz Abdullah Zaik setelah berada lebih seminggu di Gaza atas misi kemanusiaan. Ia kisah benar yang perlu umat Islam ketahui.

Peristiwa 7
Mujahideen, walaupun tangkas di medan darat, namun terdedah kepada bahaya serangan dari udara yang dikuasai 100% oleh tentera Israel . Satu ketika datang sekumpulan burung berhampiran dengan mereka. Tiba- tiba burung-burung tersebut terbang secara mengejut seolah-olah ada sesuatu akan berlaku di situ. Melihat keputusanburung-burung tersebut, para Mujahideen juga segera meninggalkan tempat tersebut. Hanya beberapa ketika selepas itu tepat di tempat tersebut dibedil oleh tentera Yahudi.

Peristiwa 8
Ketika para Mujahideen bertekad untuk menyerang kawasan tentera Israel , datang kabus meliputi kawasan tersebut, lalu mereka dapat mara sehingga ke tengah-tengah tentera Yahudi sedang musuh tidak dapat melihat mereka. Para mujahideen dapat menembak kesemua musuh dengan mudah.

Peristiwa 9
Seorang doktor menceritakan ketika dia membedah seorang mujahid yang dibom oleh Yahudi hingga habis tubuh badannya dimasukki serpihan besi (sharpnel). Mujahid tersebut masih hidup kerana jantungnya tidak ditembusi serpihan besi tersebut kerana serpihan dibahagian dadanya melekat pada kitab Al-Quran yang beliau letakkan di dalam poket bajunya.

Peristiwa 10
Beberapa orang tentera Yahudi mengatakan bahawa tentera HAMAS yang mereka lihat memakai pakaian putih, sedangkan para Mujahideen memakai pakaian ala tentera seperti biasa.

Peristiwa 11
Seorang wanita mengandung disahkan doktor disetiap pemeriksaan bahawa kandungannya adalah bayi perempuan .. Sebaik suaminya syahid dalam Perang Gaza, pemeriksaan doktor mendapati kandungannya adalah seorang lelaki.

Peristiwa 12
Dalam masa 22 hari peperangan, bayi-bayi lelaki yang dilahirkan lebih ramai dari kebiasaan iaitu lebih dari 3000 orang bayi lelaki. Bilangan yang terbunuh ialah seramai lebih 1300 orang (sahaja). Allah swt menggantikan dalam peperangan tersebut, mujahideen masa depan yang lebih ramai.

Peristiwa 13
Apabila jenazah Hasan Ismail Abu Syanab yang syahid pada hari pertama serangan Yahudi ke atas Gaza , hendak dikebumikan diliang lahad ayahnya, Asy-Syahid Ismail Abu Syanab, yang syahid 5 tahun lalu, mereka dapati jasad Ismail masih dalam keadaan seperti mula-mula dikebumikan 5 tahun lalu. Kain kafannya masih putih bersih. Sila ke laman Karamah Asy-Syahid Ir. Ismail Abu Syanab di Gaza. Beliau adalah salah seorang
pengasas dan pemimpin HAMAS.

20090817

Lima Jenis Sabar


SABAR adalah satu sifat manusia. Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah.

Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna dan nama.

Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja'ah) , lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut 'dabtun nafs' dan lawannya 'al-batr'.

Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.

Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: "Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung." (Ali-Imran:200)

Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:

1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi.

Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.

2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.

3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.

4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.

Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:

Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.

Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.

Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.

5. Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.

Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.

20090814

Istimewa untuk hati yang sedang bersedih, jiwa yang sedang berduka, minda yang sedang berkecamuk,
inilah petua terbaik buat mengubat resah dan gundah:


· Amalkan tasbih, tahmid dan takbir - Inilah petua yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada anaknya Siti Fatimah.

· Berdoa - Mohonlah kepadaNya. Ingatlah, doa itu senjata bagi orang mukmin.

· Sibukan diri dengan sesuatu - Lakukan aktiviti yang boleh melupakan segala kekusutan seperti perbanyakan membaca al-Quran & pelbagai bahan bacaan, terlibat dengan aktiviti usrah, kemasyarakatan dan sebagainya

· Luahkan perasaan anda - Bermacam cara boleh digunakan untuk meluahkan perasaan. Carilah seseorang yang paling anda percaya (sebaiknya yang ada pertalian darah atau orang yang arif dalam agama), menulis diari atau catatan harian, menulis blog dan sebagainya

· Senyum - Apabila berada dalam tekanan, cubalah untuk senyum. Senyumlah dihadapan cermin dan lihatlah diri anda yang sedang tersenyum. Ia mampu menenangkan fikiran dan hati

20090812

Bertolak Ansurlah,,,,

Di dalam dunia ini, walaupun kita hebat, kita berjawatan besar, kita ketua rumahtangga, kita bos di tempat kerja, kita merupakan ‘ayam tambatan’ organisasi kita, namun kita bukanlah hebat dari semua segi. Kita juga ada kelemahan.

Pepatah ada mengatakan bahawa:

Untuk maju kehadapan, kita perlu lihat orang yang berada di atas kita. Jika kita mahu bersyukur, lihatlah orang yang di bawah kita.

JANGAN TERBALIK. Jangan pula kalau kita ingin maju, kita lihat orang di bawah kita kerana pastinya kita akan sentiasa berasa bagus dan hebat lalu tidak perlu lagi berusaha.

Begitu juga jika kita ingin bersyukur, jangan pula melihat orang di atas kita. Sudah pasti kita tidak akan pernah syukur kerana kita sentiasa akan berasa sentiasa tidak cukup di dalam hidup ini.

Maka sebab itu, bertolak ansur lah dengan sesiapa pun kerana kita tidak hebat dari semua segi. Setiap orang ada kehebatan masing-masing. Kita saling perlu memerlukan dan lengkap melengkapi.

Bacalah cerita di bawah ini. Akibat tidak mahu bertolak ansur akhirnya diri sendiri yang musnah.

This is the actual radio conversation of a US naval ship with Canadian authorities off the coast of Newfoundland in October 1995. Radio conversation released by the chief of naval operations, 10-10-95.
CANADIANS: Please divert your course 15 degrees to the south to avoid a collision.
AMERICANS: Recommend you divert your course 15 degrees to the north to avoid a collision.
CANADIANS: Negative. You will have to divert your course 15 degrees to the south to avoid a collision.
AMERICANS: This is the captain of a US Navy ship. I say again, divert YOUR course.
CANADIANS: No, I say again, you divert YOUR course.
AMERICANS: This is the Aircraft Carrier US LINCOLN, the second largest ship in the United States Atlantic Fleet. We are accompanied with three Destroyers, three Cruisers and numerous support vessels. I DEMAND that you change your course 15 degrees north. I say again, that’s one-five degrees north, or counter-measures will be undertaken to ensure the safety of this ship.
CANADIANS: This is a lighthouse. Your call.

20090806

Himpunan Hadis

Mencintai Saudaranya (Sesama Muslim) Sebagaimana Dia Mencintai Dirinya Sendiri

Anas Radhiyallahu 'anhu mengatakan bahwa Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, "Tidak beriman salah seorang di antaramu sehingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri.” [ Shahih Bukhari ]

Memberikan Makanan Itu Termasuk Ajaran Islam

Abdullah bin Amr Radhiyallahu 'anhu mengatakan bahwa seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam , "Islam manakah yang lebih baik?" Beliau bersabda, "Kamu memberikan makanan dan mengucapkan salam atas orang yang kamu kenal dan tidak kamu kenal." [ Shahih Bukhari ]

Orang Islam Itu Ialah Seseorang yang Orang-Orang Islam Lain Selamat dari Ucapan lisannya dan Perbuatan Tangannya

Abdullah bin Umar Radhiyallahu 'anhu mengatakan bahwa Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, "Orang Islam itu adalah orang yang orang-orang Islam lainnya selamat dari lidah dan tangannya; dan orang yang berhijrah (muhajir) adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah."[ Shahih Bukhari ]

Malu adalah salah satu cabang iman

Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu mengatakan bahwa Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, "Iman itu ada enam puluh lebih cabangnya, dan malu adalah salah satu cabang iman."[10] [ Shahih Bukhari ]
Huraian: [*10] Diriwayatkan oleh Muslim dan lainnya dengan lafal Sab'uuna 'tujuh puluh', dan inilah yang kuat menurut pendapat saya(pegarang) , mengikuti pendapat Al-Qadhi Iyadh dan lainnya, sebagaimana telah saya jelaskan dalam Silsilatul Ahaditsish Shahihah (17).

Mencintai Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam Termasuk Keimanan

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahwa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, "Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya (kekuasaan-Nya) , salah seorang di antara kamu tidak beriman sehingga saya(rasullullah) lebih dicintai olehnya daripada orang tua dan anaknya."
Anas Radhiyallahu 'anhu berkata, "Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, 'Salah seorang di antaramu tidak beriman sehingga saya(rasullullah) lebih dicintai olehnya daripada orang tuanya, anaknya, dan semua manusia.'" [ Shahih Bukhari ]

20090804

Makna Bacaan Dalam Solat

Allah Maha Besar

Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.
Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi,
dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik.
Sesungguhnya solatku,
Ibadatku,
hidupku,
matiku
adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.
Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak
menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Yang menguasai hari pembalasan.
Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah, ampunilah daku,
Rahmatilah daku,
kayakan daku,
angkatlah darjatku,
rezekikan daku,
berilah aku hidayah,
sihatkanlah daku dan
maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta
keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim.
Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini.
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki.
Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan.
Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin.
Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku.
Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.
Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu.
Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi.
Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau.
Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan.
Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.
Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

20090801

SAMBUTAN NISFU SYA’BAN BUKAN DARI SUNNAH?

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Apabila memperkatakan tentang bulan Sya’ban, maka tentu sekali tarikh 15 Sya’ban atau juga lebih di kenali sebagai Nisfu Sya’ban akan bermain-main di fikiran masing-masing. Pada tarikh ini atau lebih spesifik pada waktu malamnya dianggap sebagai satu malam yang memiliki kemuliaan khusus sehinggakan rata-rata umat Islam di Malaysia mengadakan amalan-amalan tertentu seperti melakukan solat malam yang khusus, berpuasa pada siang hari, membaca surah Yassin sebanyak 3 kali dan diselang-selikan dengan doa-doa tertentu.
Ada juga yang beranggapan pada malam inilah diangkat segala amalan kita dan ditentukan segala perkara berhubung dengan kehidupan makhluk seperti hidup, mati, rezeki, untung rugi dan lain-lain atau dikenali sebagai al-Qadr. Melalui artikel ini, penulis akan cuba mengutarakan beberapa perkara yang sering diperdebatkan tentang Nishfu Sya’ban seperti:

1. Status Hadis Tentang Nisfu Sya’ban
2. Amalan-amalan Khusus Sempena Nisfu Sya’ban
3. Benarkah al-Qadr Itu Jatuh Pada Malam Nisfu Sya’ban?

STATUS HADIS TENTANG NISFU SYA’BAN

Hadis-hadis yang membicarakan tentang Nishfu Sya’ban kesemuanya berstatus daif (lemah) dan maudu’ (palsu) kecuali terdapat sebuah hadis menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h adalah sahih daripada Nabi s.a.w, iaitu riwayat yang diterima daripada Mu’az bin Jabal r.a yang berbunyi:
"ALLAH memerhatikan kepada makhluk-NYA pada malam Nisfu Sya’ban lalu DIA memberi keampunan kepada semua makhluk-NYA kecuali orang musyrik dan orang yang suka bergaduh." – Hadis riwayat Ibn Abu ‘Ashim di dalam Kitab al-Sunnah, Ibn Hibban di dalam Sahihnya dan al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid.
Oleh itu, sekiranya kita ingin termasuk di kalangan orang diberi keampunan oleh ALLAH pada malam Nisfu Sya’ban, kita hendaklah termasuk di kalangan orang yang tidak melakukan perbuatan syirik serta menghindari sifat suka bergaduh.
Namun, seharusnya kita sedari bahawa ALLAH juga turun ke langit dunia setiap hari pada sepertiga akhir malam.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"TUHAN kita Tabaraka wa Taala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih tinggal sepertiga malam yang akhir. ALLAH berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-KU, pasti AKU akan memakbulkannya; sesiapa yang meminta kepada-KU, pasti AKU akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-KU, pasti AKU akan mengampunnya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1145.
Oleh itu, sewajarnya kita mempertingkatkan amal ibadah yang benar-benar sahih daripada Nabi s.a..w sepanjang masa. Sewajarnya kita tidak hanya menunggu hari-hari tertentu atau malam-malam tertentu seperti malam Israk dan Mikraj atau Nisfu Sya’ban melainkan terdapat dalil yang sahih menunjukkan pada malam tersebut sememangnya memiliki fadilat-fadilat tertentu seperti bulan Ramadan dan malam lailatulqadar.
Amalan-amalan Khusus Sempena Nisfu Sya’ban
Sekiranya kita perhatikan hadis sahih tentang Nisfu Sya’ban yang telah penulis ketengahkan di atas, kita dapati ia tidak menganjurkan upacara-upacara tertentu mahupun ibadah-ibadah khusus sempena Nisfu Sya’ban.
Oleh itu, amalan-amalan khusus pada hari Nisfu Sya’ban seperti berpuasa, solat pada malamnya, membaca surah yasin sebanyak 3 kali, doa-doa tertentu dan lain-lain bukanlah amalan yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w mahupun para sahabat.
Sekiranya amalan-amalan khusus pada malam tersebut memiliki keutamaan yang tinggi serta memberi manfaat yang besar kepada umat Islam pasti baginda serta para sahabat akan mendahului kita dalam mengamalnya.

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi:
"Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca doa tertentu dan mendirikan solat tertentu seperti yang kita lihat di sesetengah negara umat Islam.
Bahkan di sesetengah negara, orang ramai berhimpun pada malam itu selepas solat Maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yassin dan mendirikan solat 2 rakaat dengan niat panjang umur dan dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia. Kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik daripada golongan salaf, iaitu para sahabat, tabi’in dan tabi’ al-Tabi’in.
Ia satu doa yang panjang, menyanggahi nas al-Quran dan sunnah serta saling bercanggahan atau bertentangan makna… Perhimpunan (malam Nisfu Sya’ban) seperti yang kita lihat dan dengar berlaku di sesetengah negara orang Islam adalah bidaah dan rekaan semata-mata. Sepatutnya kita melakukan ibadah sekadar yang dinyatakan dalam nas.
Segala kebaikan ialah dengan mengikuti perbuatan salaf, segala keburukan itu adalah bidaah (rekaan) golongan selepas mereka (khalaf). Setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap bidaah itu membawa kepada kesesatan serta setiap yang sesat itu membawa ke neraka." – Rujuk Fatwa Mu’asarah karya Dr. Yusuf al-Qaradawi, jil. 1, ms. 382-383. Dinukil dari buku Membela Islam Tanggungjawab & Disiplin karya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Karya Bestari, Shah Alam (2006), ms. 95.
Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata:
"Solat enam rakaat pada malam Nisfu Sya’ban dengan niat menolak bala, panjang umur, untuk kekayaan dan juga membaca surah Yasin serta doanya merupakan hal yang baru dalam agama (bidaah) dan bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w." – Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, edisi terjemahan bertajuk Bidaah -Bidaah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta (2004), ms. 155.
Imam al-Nawawi r.h menyatakan di dalam Kitab Majmu’ Syarh Muhazzab:
"Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib, iaitu 12 rakaat yang dilakukan antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama dari bulan Rejab dan solat Nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat, kedua-dua solat tersebut adalah bidaah yang mungkar. Oleh itu, janganlah terpedaya kerana kedua-duanya disebut di dalam Kitab Qutub al-Qulub dan Ihya’ Ulum al-Din dan jangan terperdaya dengan hadis yang disebut di dalam kedua-dua kitab itu kerana semuanya adalah batil belaka." – Rujuk Amalan Bidaah Pada Bulan Muharram, Rejab, Sya’ban & Ramadhan karya Dr. Abdul Ghani Azmi bin Hj. Idris, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur (1995), ms. 106.
Setelah menyebut sejumlah ayat dan hadis serta pendapat para ulama tentang malam Nishfu Sya’ban, Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz r.h berkata:
"Berdasarkan ayat-ayat, hadis-hadis dan pendapat para ahli ilmu di atas jelaslah bagi orang yang mencari kebenaran bahawa memperingati malam Nishfu Sya’ban dengan solat dan sebagainya serta mengkhususukan siangnya untuk berpuasa adalah bidaah mungkar menurut kebanyakkan ahli ilmu dan tidak ada dasarnya dalam syari’at yang murni, tetapi peringatan malam Nishfu Sya’ban ini terjadi dalam Islam setelah masa sahabat. Cukuplah bagi para pencari kebenaran mengenai masalah ini dan masalah lain melihat firman ALLAH:
"Pada hari ini, AKU telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, AKU telah cukupkan nikmat-KU kepada kamu semua dan AKU telah redha Islam itu menjadi agama kamu semua." – Surah al-Maaidah: 3.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang melakukan satu amal (berkaitan agama) yang bukan dari suruhan kami, ia tertolak." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1718.

Dalam riwayat lain:
"Jangan kamu semua mengkhususkan malam Jumaat untuk solat malam (qiamullail) antara malam lain dan jangan mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa antara hari lain kecuali puasa wajib." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1144.
Seandainya mengkhususkan malam-malam tertentu dengan ibadah itu dibolehkan, tentu malam Jumaat lebih utama untuk dikhususkan berbanding malam-malam lain. Ini kerana, malam Jumaat adalah hari terbaik sebagaimana terdapat di dalam hadis sahih.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sebaik-baik hari yang mana matahari terbit pada hari itu ialah hari Jumaat." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab al-Jama’ah, hadis no: 854.
Ketika Nabi s.a.w melarang untuk mengkhususkannya antara malam-malam lain, hal ini menunjukkan bahawa malam-malam lain walaupun dianggap mulia, juga tidak boleh dikhususkan untuk beribadah kecuali ada dalil sahih yang menunjukkan pengkhususannya. " – Rujuk Kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya Syeikh Abdullah bin Abdul Azizi al-Tuwaijiry, edisi terjemahan bertajuk: Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003) ms. 319-320.

Oleh itu, tidak ada amal ibadah yang perlu dikhususkan sempena Nisfu Sya’ban kerana tidak ada hadis sahih yang tsabit daripada Nabi s.a.w menganjurkannya. Hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh golongan sebagai hujah terdapat amalan-amalan tertentu berkaitan Nisfu Sya’ban kesemuanya daif (lemah) dan maudu' (palsu) sehingga tidak boleh dijadikan hujah.
Tentang penggunaan hadis-hadis yang tidak tsabit daripada Rasulullah s.a.w, Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat telah menyatakan pendapat Imam Tohawi r.h di dalam kitabnya al-Masaa-il, jilid 1, muka surat 41:
"Sesiapa yang menceritakan (hadis) daripada Rasulullah s.a.w atas dasar zon (sangkaan) bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w tanpa kebenaran. Justeru, orang yang menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w tanpa kebenaran, bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a..w secara batil. Manakala orang yang telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w secara batil, pasti dia menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi s.a.w sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 107:
"Sesiapa yang sengaja berdusta atas namaku, dia hendaklah mengambil tempat tinggalnya di neraka."
Dakwaan Ibn Rajab Menyokong Amalan Nisfu Sya’ban
Terdapat sesetengah pihak yang mempergunakan nama al-Hafiz Ibn Rajab r.h untuk menyokong dakwaan bahawa harus menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan amalan ibadah di masjid-masjid. Mari kita lihat apa sebenarnya yang diperkatakan oleh al-Hafiz Ibn Rajab r.h di dalam al-Latoif al-Ma’aarif, cetakan Darul Ihya al-Kutub Arabiyah, Kaherah, 1342 H, muka surat 144:
Para tabi’in yangmenetap di Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir dan lain-lain lagi mengagungkan malam Nisfu Sya’ban dan mereka bersungguh-sungguh beribadah di dalamnya. Hasil usaha merekalah akhirnya orang ramai mengambil kemuliaan pengangungan malam Nisfu Sya'ban.
Ada yang mengatakan bahawa masalah ini telah sampai kepada mereka (iaitu pengagungan malam Nisfu Sya’ban) beberapa hadis-hadis israiliyat. Ketika hal ini terbongkar di negeri itu, orang ramai berselisih pendapat dalam hal ini. Antara mereka ada yang menerimanya dan sepakat untuk mengagungkannya. Mereka ini adalah beberapa orang dari negeri Basrah dan selainnya. Sedangkan, kebanyakan ulama Hijaz seperti Atha’ dan Ibn Abi Malikah menolak pengagungannya.
Dinukil daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam daripada ulama fikah penduduk Madinah, iaitu pendapat sahabat Imam Malik dan lain-lain bahawa semua itu adalah bidaah.

Para ulama Syam berselisih pendapat tentang cara meramaikannya. Paling tidak ia terbahagi kepada dua pendapat, iaitu:

1. Disunnahkan meramaikannya dengan cara berjemaah di masjid. Khalid bin Ma’dan dan Luqman bin Amir dan selainnya memakai pakaian terbaik, berbangga dan bermegah-megah untuk tinggal di masjid pada malam itu. Cara semacam ini disepakati oleh Ishak bin Rahawaih dan dia memberi komentar mengenai perayaan itu di dalam masjid, ia bukan termasuk bidaah sebagaimana dinukilkan oleh Harb al-Kirmani daripadanya di dalam Kitab Masail.
2. Berkumpul pada malam itu di dalam masjid untuk solat, membaca cerita dan doa hukumnya makruh. Tetapi, tidak makruh apabila seseorang mengerjakannya secara bersendirian. Inilah pendapat yang dipegang oleh al-Auza’i, imam penduduk Syam, orang yang fakih dan alim antara mereka. Malah, pendapat ini lebih menghampiri kebenaran. – Rujuk Kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, edisi terjemahan bertajuk: Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003), ms. 314-315.

Inilah antara kata-kata yang telah dilontarkan oleh Ibn Rajab r.h. Beliau hanya menukilkan beberapa pendapat ulama dan mentarjihkannya. Apa yang dapat kita fahami daripada kata-katanya ialah:

1. Amalan pengangungan Nisfu Sya’ban ini hanyalah amalan para tabi’in di Syam. Ia bukan berasal daripada Rasulullah s.a.w mahupun para sahabat.
2. Menurut Ibn Rajab, ada yang berpendapat mereka berdalilkan hadis-hadis israiliyat. Bolehkan hadis israiliyat di jadikan hujah untuk mensunatkan sesuatu amalan? Itu pokok persoalannya.
Tambahan pula ulama-ulama hadis telah mengumpulkan hadis-hadis yang membicarakan tentang keutamaan malam Nisfu Sya’ban yang kemudiannya setelah ditahqiq atau dilakukan penilaian mengenai darjat hadis tersebut, mereka merumuskan bahawa tidak ada satupun riwayat sahih kecuali sebuah riwayat daripada daripada Mu’az bin Jabal r.a sebelum ini.
Hadis tersebut tidak menunjukkan amalan tertentu sempena Nisfu Sya’ban. Sekiranya ingin diampunkan oleh ALLAH pada malam tersebut, kita hendaklah menjauhi perbuatan syirik dan jangan suka berbalah.
3. Amalan tersebut tersebut ditolak oleh jumhur ulama hijaz seperti di Madinah. Sebagaimana yang telah kita sedia maklum, majoriti para sahabat r.a menetap di Hijaz. Namun, tidak terdapat satu riwayatpun yang menunjukkan para sahabat dan tabi’in di Hijaz mengamalkan amalan seperti penduduk di Syam.
4. Tidak ada di dalam kaedah mana-mana mazhab bahawa amalan penduduk Syam boleh dijadikan hujah. Apatah lagi amalan tersebut maqthu’ (terhenti) kepada segelintir kecil tabi’in di Syam. Tambahan pula menurut kaedah Mazhab Syafie, amalan yang mauquf kepada sahabat tidak boleh dijadikan hujah. Inikan pula amalan yang hanya maqthu’ pada tabi’in. Oleh itu, kaedah dari mazhab mana yang dipakai untuk mensunatkan amalan tertentu pada malam Nisfu Sy’aban?
5. Ibn Rajab sendiri telah menguatkan pendapat bahawa meramaikan masjid dengan upacara-upacara ibadah sempena malam Nisfu Sya’ban hukumnya makruh. Pendapat ini juga dipersetujui oleh imam paling masyhur di kalangan penduduk Syam, iaitu Imam al-Auza’i r.h.
6. Keharusan yang diberikan oleh Ibn Rajab dan al-Au’za’i untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan ibadah secara sendirian juga tidak boleh dijadikan hujah kecuali didatangkan dalil tentang keharusannya. Tetapi, sememangnya hadis yang mampu dijadikan dalil tidak wujud. Walau bagaimanapun, harus meneruskan amalan-amalan sunnah yang sememangnya biasa dilakukan pada malam-malam lain seperti tahajjud, baca al-Quran, berdoa dan berzikir sama ada pada bulan Sya'ban atau bulan-bulan lain.
7. Ibn Rajab tidak menceritakan tentang amalan mengkhususkan bacaan Yassin yang diselang-selikan dengan doa-doa khusus sebagaimana yang biasa diamalkan oleh umat Islam di Malaysia.
8. Ibn Rajab juga tidak menceritakan tentang puasa Nisfu Sya’ban sebagaimana yang biasa diamalkan di negara kita.
9. Di dalam kitab yang sama, Ibn Rajab juga menyatakan bahawa solat malam Nisfu Sya’ban tidak ada dalilnya baik daripada Nabi s.a.w mahupun para sahabat. Tetapi, ia hanya tradisi peninggalan sebahagian tabi’in dari ulama fikah yang menetap di Syam.

Benarkah al-Qadr Berlaku Pada Malam Nisfu Sya’ban?
Al-Qadr bermaksud penetapan. Oleh itu, mereka yang beranggapan al-Qadr itu berlaku pada malam Nishfu Sya’ban sebenarnya mereka mengandaikan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya akan ditentukan pada malam tersebut. Mereka menduga pada malam inilah diangkat segala amalan kita dan ditentukan segala perkara berhubung dengan kehidupan makhluk. Mereka berhujah dengan Firman ALLAH S.W.T:
"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (KAMI berbuat demikian) kerana sesungguhnya KAMI sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba KAMI tidak ditimpa azab). (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan yang bakal berlaku." – Surah al-Dukhan: 3-4.
Menurut tafsiran 'Ikrimah, malam yang diberkati dan ditetapkan segala urusan manusia itu adalah malam Nisfu Sya’ban. Namun, pendapat ini tertolak kerana nas-nas yang sahih telah menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan dan malam yang diberkati itu adalah malam lailatulqadar.
Firman ALLAH S.W.T:
"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr. Dan melalui cara apa engkau mampu mengetahui kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr lebih baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya sambil berkata:) Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." – Surah al-Qadr: 1-5.
Al-Hafiz Ibn Kathir r.h ketika mentafsirkan surah al-Dukhan, ayat 3-4, katanya:
"ALLAH berfirman menjelaskan tentang al-Quran al-Adzim bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang penuh berkat, iaitu malam al-Qadr sebagaimana firman ALLAH di dalam surah al-Qadr:
"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr." – Surah al-Qadr: 1.
Hal itu terjadi pada bulan Ramadan sebagaimana firman ALLAH S.W.T:
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa ialah) bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, menjadi keterangan-keterang an yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah.
Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) , dia hendaklah berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, (dia bolehlah berbuka kemudian dia wajib berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.
(Dengan ketetapan itu) ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan dan DIA tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Malah supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjuk-NYA dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah: 185.
Apa yang dapat diambil pengajaran di sini ialah sesiapa yang mengatakan bahawa malam yang dimaksudkan (dalam surah al-Dukhaan itu) adalah malam Nisfu Sya’ban seperti yang diriwayatkan daripada 'Ikrimah, bererti dia telah menjauhkan diri dari pengertian asalnya. Ini kerana, nas al-Quran menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang penuh berkat itu (lailatulqadar) adalah pada bulan Ramadan." – Rujuk Kitab Tafsir al-Quran al-‘Adzim karya al-Hafiz Ibn Kathir, jil. 4, ms. 137.
Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata:
"Keyakinan bahawa malam Nisfu Sya’ban adalah malam al-Qadr adalah keyakinan yang salah. Demikian kesepakatan para ulama hadis sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Ketika menjelaskan Sunan al-Tirmizi, Ibn al-'Arabi mengatakan bahawa firman ALLAH di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran bermaksud diturunkan pada malam Nisfu Sya’ban adalah tidak benar kerana ALLAH tidak pernah menurunkan al-Quran pada bulan Sya’ban.
Tetapi, ayat itu harus difahami secara lengkapnya sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr di mana lailatulqadar itu hanya wujud pada bulan Ramadan. Hal ini juga ditegaskan oleh ALLAH di dalam surah al-Baqarah, ayat 185: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya. Keyakinan al-Qadr berlaku pada malam Nishfu Sya’ban sangat bertentangan dengan Kitabullah dan sangat jauh terpesong dari isi kadungannya.
Perlu kami ingatkan bahawa ALLAH sendiri telah menegaskan tentang malam itu di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan bermaksud pada malam al-Qadr dijelaskan segala hal kepada malaikat bukannya pada malam Nisfu Sya’ban." – Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, ms. 156.

KESIMPULAN
Dari sini dapat kita simpulkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah menetap amalan-amalan tertentu khusus pada bulan Nisfu Sya’ban dan penetapan segala urusan manusia (al-Qadr) juga tidak berlaku pada malam Nishfu Sya’ban. Pada malam Nishfu Sy’aban, ALLAH hanya akan mengampun dosa-dosa mereka yang benar-benar mentauhidkan- NYA dan tidak memiliki sifat tercela seperti bergaduh dan sebagainya.
Oleh itu, kita hendaklah menanamkan kedua-dua sifat tersebut demi mendapatkan fadilat malam Nisfu Sya’ban, iaitu diampunkan dosa-dosanya oleh ALLAH. Program-program sempena Nisfu Sya’ban juga seharusnya menekankan isu-isu berkaitan perkara yang boleh mencemari tauhid. Sedangkan, hal ini semakin berleluasa dan menular bagaikan wabak dalam kehidupan umat Islam seperti mempercayai bomoh, memakai tangkal, berdoa di kubur seseorang yang dianggap keramat, menganggap tokoh-tokoh agama seakan-akan maksum sehingga pendapatnya wajib diikuti walaupun bercanggah dengan nas, mempercayai ahli nujum, menyakini ramalan horoscope, Feng Shui dan banyak lagi.
Kita hendaklah memperbanyakkan ceramah-ceramah agama yang dapat membersihkan jiwa dari sifat-sifat keji seperti bergaduh, dengki, iri hati, khianat, busuk hati, sombong dan lain-lain agar kita dapat membentuk sebuah masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni. Walaupun saban tahun kita menyambut kedatangan Nisfu Sya’ban, namun pencemaran tauhid masih berleluasa di kalangan masyarakat kita dan perasaan saling dengki, fitnah memfitnah dan bertelingkah pendapat tetap menjadi sifat yang sinonim dengan bangsa Melayu.