Hanya sekadar satu perkongsian daripada Tugasan yang ana dan kumpulan lakukan. Harap dapat membantu sebilangan pelawat Blog ini.
Kaitan Antara Politik Islam dan Politik Barat
Dalam melihat perkaitan antara politik islam dan politik barat ini, demokrasi merupakan satu sistem yang boleh dikaji secara lebih lanjut. Dalam membicarakan ini, ada dua pendapat dan pandangan yang berbeza mengenai demokrasi.
Ada yang menerima demokrasi dengan alasan islam turut menyediakan landasan demokratik seperti yang dinyatakan oleh Haddad dan golongan kedua menurut Ahmad Bashir ialah golongan yang menolak demokrasi dengan alasan sistem politik barat itu bercanggah dengan kedudukan Allah Taala sebagai pembuat hukum atau musyarri. Menurut Adnan ‘Ali Ridha, 1990, perkara ini disebabkan oleh demokrasi dikatakan memberi kuasa sewenang – wenangnya kepada manusia untuk menentukan hukum atau undang – undang. Lebih daripada itu, demokrasi dianggap ‘agama baru’ yang boleh mendatangkan syirik kepada Allah Taala (Adnan ‘Ali Ridha,1990).
Walau bagaimanapun, hasil perbincangan antara Islam dan demokrasi secara ilmiah yang dipelopori oleh sebilangan pemikir Islam, telah memunculkan beberapa konsep yang secara dasarnya melihat hubungan antara kedua – duanya secara lebih positif dan tidak kurang mengambil sikap yang cukup tegas. Konsep-konsep tersebut ialah theo-democracy dan popular vicegerency yang dibawa oleh Maulana Al-Maududi, faraghat oleh Rashid Ghannounchi dan ‘Islam sebagai agama semi-demokrasi’ oleh Niaz Faizi Kabuli. Konsep-konsep tersebut dikatakan telah menyumbang kepada kelahiran tesis bahawa Islam telah menggariskan beberapa aturan (setting) dalam hubungannya dengan demokrasi. (Mohd Izani, 2007)
Demokrasi Dalam Islam
Kaitan tentang hubungan Islam dan demokrasi sering mendapat perhatian yang istimewa. Memandangkan demokrasi adalah produk ciptaan Barat, perbincangan antara Islam dan demokrasi sebenarnya menonjolkan wacana tentang Islam dan Barat secara tidak langsung (Mohd Izani,2007).
Secara asasnya, dalam membincangkan konsep Islam dan demokrasi, kita tidak boleh terikat dengan definisi yang rigid dan kaku. Sebagai contohnya, Islam tidak boleh dibincangkan dengan demokrasi jika sistem politik ciptaan barat itu disorot dari sudut kebebasan individu dan kedaulatan manusia semata-mata. Begitu juga demokrasi tidak boleh dibincangkan dengan konsep politik Islam jika konsep tersebut dilihat hanya dari sudut kedaulatan Allah semata-mata (Esposito,1996).
1. Theo-Demokrasi Dan Popular Vice Regency Dalam Islam
Konsep theo-demokrasi dan popular vice regency ini telah diperkenalkan oleh Abul A’la Al-Maududi (1903-1979). Beliau secara asasnya menerima demokrasi tetapi penerimaan tersebut mesti bersandarkan beberapa syarat ketat dan selari dengan kehendak islam. Menurut beliau lagi, istilah ‘theo’ yang terangkum dalam istilah theo-democracy merujuk kepada syariah. Konsep ini jelas menonjolkan peranan agama dalam memandu demokrasi dan ia berbeza dengan demokrasi ala Barat yang lebih mengutamakan kehendak manusia dan kebebasan individu (individual freedom). Beliau percaya bahawa demokrasi hanya boleh diterima jika sistem politik dari Barat itu berlandaskan syariah atau ‘lingkungan’ yang telah ditetapkan oleh Islam.
Konsep theo-democracy yang diperkenalkan oleh beliau ini juga mengutamakan prinsip utama yang terkandung dalam asas pemikiran politik Islam iaitu al-hakimiyyah, al-siyadah atau kedaulatan Allah (sovereignty of god). Dalam hal ini, beliau menjelaskan tidak ada sebarang kompromi dalam soal kedaulatan atau sumber perundangan kerana ia adalah milik eksklusif Allah Taala. Prinsip ini sebenarnya relevan dengan pendirian konsep theo-democracy seperti yang ditekankan iaitu meletakkan syariah sebagai panduan.
Bagi konsep popular vice regency, konsep ini diperkenalkan beliau bagi menggantikan konsep kepimpinan demokrasi ala barat yang berteraskan popular sovereignty. Popular vice regency membawa maksud kepimpinan umat islam secara kolektif. Ini bermakna hak kepimpinan dalam islam itu adalah hak milik eksklusif umat islam dan bukannya rakyat secara umum dan tanpa mengira bangsa dan kepercayaan atau hak milik seseorang individu itu sahaja. Konsep ini secara tidak langsung juga menolak idea teokrasi atau kepimpinan ahli agama yang sering kali dikaitkan dengan gaya pemerintahan islam. Hal ini sebenarnya menafikan lagi kenyataan bahawa hanya ulama sahaja yang boleh mentadbir negara, sebaliknya tugas tersebut mesti dipertanggungjawabkan ke atas semua umat islam. Perkara ini dibuktikan dengan firman Allah di dalam surah An – Nuur ayat 55 yang bermaksud:
Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu yang mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sesungguhnya akan menjadikan mereka (penekanan) berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.”
(Surah An – Nuur ayat 55)
Berdasarkan ayat surah An – Nuur ayat 55 di atas, perkataan mereka dalam ayat di atas merujuk kepada pemimpin atau khalifah di dunia yang menjadi hak milik orang islam dan bukannya hak milik individu – individu tertentu sama ada ulama atau nasab kepimpinan seseorang.
2. Konsep Faraghat (ruang) Dalam Pemerintahan
Menurut Muhammad Uthman El – Muhammady, konsep faraghat ini telah diperkenalkan oleh Rashid Ghannouchi, seorang tokoh islam yang banyak membahaskan tentang keserasian antara islam dan demokrasi atau compatibility of democracy with islam (Mohd Izani, 2007). Dalam menjelaskan hubungan antara islam dan demokrasi ini, beliau menggunakan hujah kebebasan sebagai satu elemen yang menghubungkan antara kedua – duanya.
Beliau memperkenalkan konsep faraghat (ruang) dan ia bertitik tolak daripada tindakan Nabi Muhammad s.a.w yang tidak menamakan siapakah pengganti baginda (Azzam, 2001). Peristiwa ini telah menggambarkan bahawa baginda telah memberikan ruang kepada umat islam untuk menentukan calon pengganti selepas kewafatan baginda. Ruang inilah yang digunakan oleh Rashid Ghannouchi untuk menyatakan bahawa islam menekankan kebebasan dalam menentukan pemerintahan sendiri yang sesuai untuk dikaitkan dengan ciri demokrasi itu sendiri. Walau bagaimanapun, penggunaan ruang ini mestilah tidak bercanggah dengan Al – Quran dan As – Sunah yang menjadi pemacu umat islam.
3. Konsep Semi-Demokrasi Dalam Kebebasan Berfikir
Niaz Faizi Kabuli dalam tesisnya yang bertajuk Islam Merupakan Agama Semi-Demokrasi menyokong kenyataan bahawa kebebasan diberikan kepada umat Islam dalam menentukan perkara yang berkaitan dengan siyasi (cara untuk memerintah kerajaan dan menyelesaikan konflik) (Niaz, 1994). Dalam hal ini beliau berpendapat islam adalah agama semi-demokrasi kerana islam mempunyai elemen autokratik dan demokratik.
Elemen autokratik ini dilihat dalam konsep kewajipan umat islam mentaati semua perintah yang telah diputuskan oleh Al-Quran dan As-Sunah. Manakala elemen demokratik pula dilihat apabila islam mengiktiraf penganut-Nya sebagai legislator atau pembuat hukum dengan membenarkan mereka menentukan hukuman dan jalan penyelesaian terhadap perkara yang tidak diputuskan secara terang oleh Al-Quran dan As Sunah. Kebebasan dan ruang inilah yang menjadi hujah kepada Niaz bahawa islam adalah agama yang mempunyai elemen demokratik.
Perbezaan Sistem Demokrasi Dengan Sistem Politik Islam
1. Sumber
Sistem politik islam merupakan satu sistem politik yang berlandaskan sumber yang benar. Sumber ini berasal daripada undang – undang Allah seperti yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunah.
Penggunaan Al-Quran dan As-Sunah sebagai pemacu umat islam dalam membina undang – undang dan menuju ke landasan yang benar membuktikan bahawa politik dan islam (agama) tidak diasingkan. Dalam hal ini, hampir kesemua prinsip dan nilai sesuatu masyarakat itu diatur, dan yang dipatuhi masyarakat itu, telah dinyatakan oleh undang-undang tertinggi yakni undang – undang yang telah termaktub dalam Al-Quran dan Al-Sunah.
Manakala sistem politik barat (sekular) pula mengasingkan agama daripada politik. Dalam hal ini, segala keputusan yang dibuat adalah berlandaskan fikiran manusia yang dangkal dan cetek serta dipengaruhi oleh hawa nafsu. Keputusan yang dibuat berdasarkan perkara – perkara inilah yang melanggar nilai – nilai agama antaranya penghalalan minuman-minuman memabukkan, berjudi, homoseksual, riba’ dan termasuk pengambilan anak angkat.
Pengasingan agama dan politik yang diamalkan oleh barat inilah yang membezakannya dengan politik islam lantas kadangkala menyebabkan keputusan yang dibuat adalah secara membuta tuli dan mengikut kehendak majoriti tanpa sumber dan panduan serta membelakangi nilai – nilai moral.
2. Pemilihan Pemimpin
Perbezaan dalam pemilihan pemimpin merupakan antara satu perbezaan ketara antara sistem politik islam dan sistem politik barat yakni sistem demokrasi.
Dalam sistem politik islam, seseorang pemimpin itu perlulah mempunyai ciri – ciri dan kriteria berdasarkan apa yang telah disarankan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran. Menurut apa terkandung dalam al-Quran seseorang pemimpin itu haruslah mempunyai ciri – ciri atau kriteria – kriteria tertentu seperti seorang yang tinggi keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah S.W.T, mempunyai ilmu pengetahuan yang luas terutamanya dalam konteks politik atau pemerintahan negara serta dalam konteks ekonomi dan sosial. Di samping itu, seseorang pemimpin itu haruslah mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik, serta mempunyai kemahiran dalam bidang pertahanan negara iaitu kemahiran dalam ilmu peperangan. Pemilihan calon ini juga dilaksanakan melalui sistem shura dalam islam.
Keadaan ini berlainan sama sekali dengan sistem politik barat yang menjadikan suara majoriti dalam pemilihan pemimpin sebagai asas tanpa mengira sahsiah, akhlak, serta keperibadian pemimpin itu sendiri. Asalkan seseorang itu dicalonkan untuk menjadi pemimpin dan mendapat sokongan majoriti daripada rakyat maka terlantiklah seorang pemimpin yang bukan hanya berasaskan prinsip kebenaran, malah berkemungkinan jelas mentampakkan ia berasaskan kebatilan. Contohnya, seseorang pemimpin itu dilantik adalah bukan kerana kelayakannya dari segi kepemimpinan tetapi berdasarkan pemilikan hartanya yang banyak serta pengaruhnya dalam bidang-bidang tertentu seperti pengaruhnya dalam bidang ekonomi yang membolehkannya dicalonkan dalam pilihanraya. Dengan sogokan yang diberikan kepada rakyat membuatkannya dilantik menjadi pemimpin. Ini jelas menunjukkan kebatilan yang nyata dari segi pemilihan pemimpin dalam sistem demokrasi.
3. Kuasa
Kuasa seseorang pemimpin dalam sistem politik islam dan sistem politik barat berbeza sama sekali. Hal ini berlaku kerana dalam sistem politik islam, peruntukan kuasa seseorang pemimpin telah disyariatkan dalam kitab Al-Quran Nur Karim.
Peruntukan kuasa pemimpin dalam sistem politik islam menyebut bahawa seseorang pemimpin itu perlu amanah dalam kepimpinannya dan haram baginya untuk pecah amanah yakni menerima rasuah. Pemimpin dalam islam juga mestilah mempunyai ketegasan yang tinggi dalam soal mempertahankan syariat iaitu memperjuangkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Dalam hal ini, Al-Quran dan As-Sunah dijadikan landasan dalam membuat sebarang keputusan oleh seseorang pemimpin. Malah pemimpin juga diwajibkan menjalankan kuasa pemerintahan yang diamanahkan dengan mengamalkan prinsip kebenaran dan keadilan. Dari segi bidang kuasa kehakiman pula, seseorang hakim wajib memberikan pengadilan berdasarkan keadilan dimana prinsip keadilan itu telah dijelaskan dalam Al-Quran. Misalannya, seandainya seseorang yang telah disahkan bersalah dan dijatuhkan hukuman maka tiada lagi pertikaian atau rayuan baginya dan seharusnya hukuman tersebut hendaklah segera dilaksanakan.
Berlainan pula dengan sistem politik barat, kuasa seseorang pemimpin itu meliputi ruang lingkup yang luas termasuklah dalam perkara-perkara yang diharamkan dari segi syariat asalkan sesuatu perkara itu dipersetujui oleh majoriti rakyat. Sesuatu perkara yang diharamkan oleh syariat boleh menjadi halal dengan kuasa seseorang pemimpin itu asalkan difikirkan perlu dan mendapat sokongan majoriti rakyat. Dengan kata lain, bidang kuasa yang digunakan adalah berpandukan akal fikiran manusia ataupun mengikut logikal akal manusia semata-mata dan bukan berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah.
Perbezaan ini juga sebenarnya meliputi penggunaan kuasa mereka yang berdasarkan perlembagaan negara yang di gubal yang mana perlembagaan yang digubal itu bukan menjadikan asas Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama dalam pembentukkan perlembagaan negara tersebut.
Dari segi bidang kuasa kehakiman pula, seseorang hakim dalam sistem demokrasi boleh membenarkan seseorang yang telah disahkan bersalah dan dijatuhkan hukuman untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan sekiranya diluluskan oleh Yang Di Pertuan Agong hukuman tersebut boleh diringankan seperti yang berlaku di Malaysia.
Disebabkan itu, maka prinsip keadilan dan kebenaran telah dicabuli oleh suatu sistem yang dirangka mengikut akal fikiran manusia semata-mata iaitu sistem demokrasi lantas membuktikan sistem politik islam adalah berbeza sama sekali dengan sistem politik barat.
Di antara bahan rujukan yang digunakan ana:
Mohd Izani Mohd Zain, 2008. Konsep Theo-Democracy, Popular Vice Regency, Faraghat dan Semi-Demokrasi Dalam Wacana Islam dan Demokrasi. Sungai Besi: UPNM
Mohd Izani Mohd Zain. 2005. Islam dan Demokrasi : Cabaran Politik Muslim Kontemporari di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya
Mohd Izani Mohd Zain 2007. Demokrasi dan Dunia Islam: Perspektif Teori dan Praktik. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Idris Zakaria, 1991. Teori Politik Al-Farabi dan Masyarakat Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Syed Ahmad Hussein, 2001. Pengantar Sains Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Adnan ‘Ali Ridha.1990. Syura Bukan Demokrasi. Kuala Lumpur: Polygraphic Press. Sdn. Bhd.
Mustafa Ishak dan Afifi Abdul Razak, 2005. Politik Dan Pemerintahan Negara. Malaysia: Thomson Learning
Muhamed S.El-Awa, 1991. Sistem Politik Negara Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
harap saudara/saudari sekalian, sudi click adds dibawah yer..... ^^,