Oleh: Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah
Menerusi salah satu risalah
beliau yang berjudul Usah Terpesona Tajdid Segera Wahabi: Mula abad
ke-18 Wahabi menentang ulil amri sehingga musnah kerajaan Islam
Uhtmaniah (Berita Minggu, Ahad 20 Disember 2009, ms. 30), Muhammad
Uthman El-Muhammady menulis:
Berbanding tajdid Ahli Sunnah
kita boleh sebutkan tajdid segera Wahabi bermula dari abad ke-18 itu.
Antara yang berlaku ialah tuduhan umat Islam melakukan kesyirikan dan
bidaah, lalu atas nama mengembalikan sunnah dan memerangi bidaah,
berlaku penentang terhadap ulil amri waktu itu iaitu kerajaan Uthmaniah
Turki yang berabad mempertahankan Islam yang sedang dimusuhi Barat.
Apabila ia dilemahkan dari dalam oleh usaha golongan itu atas nama
menegakkan tauhid dan sunnah, akhirnya ia lemah dari dalam, apalagi
golongan itu bermuafakat dengan British dan Perancis seperti tercatat
dalam ‘Unwan al-Majdi, akhirnya jatuhlah khalifah itu dengan Kamal
Attarturk memberi pukulan maut ke atasnya.
Sebenarnya isu yang dibangkitkan
oleh Muhammad Uthmaniyah El-Muhammady di dalam kenyataannya di atas
bukanlah satu isu yang baru. Malah isu ini juga pernah disuarakan oleh
beliau sejak beberapa tahun yang lalu iaitu di dalam Mingguan Malaysia,
27 November, 2005.
Bagi menjawab semula fitnah yang
dilontarkan oleh beliau ini, ada baik kiranya kita meneliti sebuah
risalah yang penulis nukil daripada buku berjudul Aliran Dakwah di
Malaysia: Satu Titik Pertemuan karya saudara Dr. Abdul Rahman Hj.
Abdullah (terbitan Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor, 2007), ms. 336 di
bawah ini:
Suatu tuduhan yang tidak pernah
putus diperkatakan ialah bahawa, golongan Wahhabiah yang menjadi punca
kejatuhan khilafah Turki Uthmani. Tuduhan palsu yang tidak berasaskan
fakta sejarah ini perlu diperbetulkan, apalagi kerana ia turut
dibangkitkan oleh Ustaz Muhd. Uhtman El-Muhammady. Menurutnya, fahaman
Wahhabi itu sendiri berkembang luas sehingga menjatuhkan kerajaan Turki
Uthmaniyah di Turki (Mingguan Malaysia, 27 Nov. 2005). Sesiapa yang
meneliti sejarah Asia Barat secara saksama, nescaya akan mendapati
bahawa kejatuhan khilafah Turki Uthmaniyah tidak ada kaitan sama sekali
dengan peranan Saudi-Wahhabi. Untuk memahami peranannya, elok ditinjau
latar belakang tanah Hijaz (Makkah-Madinah) terlebih dahulu.
Dengan tamatnya era Khulafa’
al-Rasyidin (661M), maka lenyaplah juga kepentingan Hijaz
(Makkah-Madinah) sebagai pusat pemerintahan dan tamadun Islam. Dengan
kenaikan kerajaan Bani Umayyah (661-750M) yang berpusat di Syam atau
Damsyik, timbul pemberontakan oleh ‘Abdullah bin Zubair di Hijaz pada
zaman Abdul Malik bin Marwan (685-705M), dan juga pemberontakan Khawarij
dan penduduk Hijaz pada zaman Marwan bin Muhammad (744-750M).
Pada zaman kerajaan Bani
Abbasiah (750-1258M) yang berpusat di Baghdad, golongan Syiah Alawiyah
menjadikan kota Hijaz sebagai pusat penentangan mereka terhadap kerajaan
ini. Inilah era pertama sejarah golongan Alawiyah, iaitu era
pemberontakan Syiah Alawiyah di Hijaz. Antara para pemberontak tersebut
ialah:
1. Muhammad bin Abdullah
(“al-Nafs al-Zakiyah”) bin al-Hassan bin al-Hussain bin Ali bin Abi
Talib, yang melancarkan pemberontakannya pada zaman Khalifah Abu Ja’far
al-Mansur pada tahun 145H/761M. Kerana tewas, saudaranya Ibrahim bin
Abdullah meneruskan pemberontakannya di Basrah, Iraq.
2. Al-Hussain bin Ali bin
al-Hassan bin Ali bin Abi Talib, yang dibaiat sebagai khalifah di
Madinah oleh golongan Alawiyah, dan bangkit memberontak terhadap
Khalifah al-Hadi pada tahun 169H.
3. Muhammad (al-Dibaj) bin
Jaafar al-Sadiq, yang dilantik sebagai khalifah oleh golongan Alawiyah
pada zaman Khalifah al-Makmun (813-833M). Walau pun tewas, tetapi
Khalifah al-Makmun telah mengampunkannya.
4. Serangan golongan
Qaramitah (Syiah Batiniyah) dari Bahrain terhadap pemerintah Bani
Abbasiah di Makkah pada 929M. Mereka telah membunuh lebih kurang 30, 000
jamaah haji serta merampas Hajar Aswad lalu dibawa ke Bahrain, sebelum
dipulangkan 22 tahun kemudian.
5. Penguasaan Bani
al-Ukhairdhir (Syiah Zaidiyah) secara autonomi di Hijaz pada 335-350H,
setelah memisahkan diri daripada Bani Abbasiah.
Demikianlah sejak pemberontakan
“al-Nafs al-Zakiyah” hingga serangan puak Qaramitah, telah terjadi tidak
kurang daripada tujuh puluh kali pemberontakan Alawiyah atau Syiah di
Makkah. Selepas era pemberontakan Syiah Alawiyah, muncullah era kedua,
iaitu era pemerintahan mereka sendiri di Hijaz yang disebut “Nizam
al-Asyraf” atau sistem pemerintahan para Syarif, yang bermazhab Syiah
yang bermula sejak tahun 928M hingga tahun 1924M. Bagaimanapun ia
bukanlah mutlak (de facto) di bawah kuasa mereka, tetapi lebih banyak
dipengaruhi oleh kerajaan-kerajaan luar yang lebih kuat. Para penguasa
luar yang turut mencaturi zaman “Nizam al-Asyraf” ialah seperti berikut:
1. Penguasaan Mesir (Fatimiyah, Ayyubiyah, Mamluk).
2. Penguasaan Turki Uthmaniyah (1517-1803M).
3. Penguasaan Saudi-Wahhabi (1803-1813M) yang berpusat di Dar’iyah.
4. Penguasaan Muhammad Ali Pasya (1813-1841M) dari Mesir.
5. Penguasaan Turki Uthmaniyah (1841-1916M).
Tetapi mulai tahun 1916, Syarif
Hussain bin Ali (1908-1924) lalu mengisytiharkan kemerdekaan Hijaz
daripada penguasaan Turki, dengan membentuk sistem monarki (Nizam
al-Mamlakah). Bagaimanapun dengan kebangkitan semula gerakan
Saudi-Wahhabi, akhirnya pemerintahan Syarif Hussain jatuh pada tahun
1924, dan digantikan oleh kerajaan Saudi-Wahhabi 1925.
Sejauh manakah kebenaran dakwaan
Ustaz Muhd. Uthman El-Muhammady bahawa fahaman Wahhabilah yang menjadi
punca kejatuhan kerajaan Turki Uthmani? Sesiapa yang meneliti sejarah
hubungan mereka secara saksama, nescaya akan mendapati bahawa, golongan
Saudi-Wahhabi sentiasa menghormati serta setia kepada Khilafah
Uthmaniyah, dan kejatuhan Khilafah Islam ini pula tidak ada kaitannya
sama sekali dengan golongan Wahhabi.
Pertama-tama sekali tentang
sikap politik Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, menurut Dr. Ajil Jasim
al-Nasymi dalam tulisannya “Pemerintahan Khilafah dan Gerakan
Wahhabiyah,” dalam kitab-kitabnya (Muhammad bin Abdul Wahab) tidak ada
yang menegaskan permusuhannya terhadap pemerintahan khilafah. Tumpuan
beliau hanya kepada usaha dakwah, nasihat, atau menentang
kemungkaran-kemungkaran (syirik dan bid’ah).
Dari segi bukti sejarah
misalnya, ketika Amir Saudi bin Abdul Aziz berjaya menguasai Makkah pada
tahun 1803 dalam era “Nizam al-Asyraf”, dia mengutus surat kepada
Sultan Salim III di Turki menyatakan pengakuannya sebagai sultan. Malah,
ketika Amir Saudi digantikan oleh puteranya, Abdullah, dia juga
mendukung khilafah Islam dengan menyatakan kesetiaannya kepada Sultan
Uhtmani.
Bukan sahaja pada zaman “Nizam
al-Asyraf”, malah ketika golongan Saudi-Wahhabi berkuasa penuh di Hijaz
yang bermula pada tahun 1925 itu pun, mereka masih mengakui kekhilafahan
Uthmaniyah. Contoh terbaik ialah tindakan Malik Abdul Aziz bin Abdul
Rahman (1932-1953) yang telah mengutus surat kepada Sultan Abdul Hamid
II (1876-1909), dengan mengakui kedaulatannya dan kesetiannya kepada
khalifah Turki.
Jelaslah bahawa, golongan
Saudi-Wahhabi bukannya memusuhi bahkan mengakui kedaulatan dan
menunjukkan kesetiannya kepada khalifah Uthmaniyah. Sebenarnya mereka
yang menentang khalifah Turki yang bermazhab sunni (hanafi) itu ialah,
para pemerintah Asyraf (syarif-syarif) Makkah sendiri yang bermazhab
Syiah. Contohnya ialah percubaan Syarif Ghalib yang memerintah Makkah
bagi pihak Sultan Uthmaniyah yang merancang untuk membebaskan dirinya
daripada penguasaan Istanbul. Tetapi sebelum sempat bertindak, ia
dicabar oleh golongan Wahhabi yang kemudiannya berjaya menguasai Makkah
sepanjang tahun 1803-1813. Malah, yang lebih penting lagi ialah tindakan
Syarif Hussain yang sanggup berkerjasama dengan wakil British, T.E
Lawrence, untuk melancarkan “Pemberontakan Arab” pada tahun 1916
menentang Sultan Abdul Hamid II di Turki.
Tidak cukup setakat itu, projek
mega landasan keretapi oleh Sultan Abdul Hamid II di antara Damsyik
dengan Makkah itu bukan sahaja telah disekat oleh Syarif Hussain bin Ali
setakat di Madinah sahaja, malah landasan yang sudah berjaya
dibangunkan di Madinah itupun kemudiannya diletupkan oleh pihak Inggeris
dengan kerjasama Faisal bin Hussain bin Ali. Padahal, biaya untuk
projek mega ini datangnya daripada sumbangan derma Dunia Islam, dan
tujuan didirikan itupun adalah untuk mendaulatkan gagasan pan-Islamisme
atau Penyatuan Dunia Islam.
Jika dari segi pertama sudah
jelas bahawa, golongan Saudi-Wahhabi menunjukkan kesetiaan kepada
khilafah Uthmaniyah, maka persoalannya bolehkah ia didakwa sebagai punca
yang membawa kejatuhan khilafah ini? Jelasnya, adakah kejatuhan Turki
Uthmani yang kemudiannya digantikan oleh kerajaan sekular pemimpin tokoh
Yahudi Dunama yang bernama Mustafa Kemal pada tahun 1925 itu berlaku
kerana golongan Saudi-Wahhabi?
Pada hakikatnya, sebab-sebab kejatuhan Turki Uthmani dapat disimpulkan kepada tiga faktor besar, iaitu:
1. Keruntuhan akhlak para pemerintah.
2. Gerakan Yahudi Freemason.
3. Kerajaan Kristian Eropah.
Di antara ketiga-tiga faktor
besar ini, faktor utamalah yang paling dominan. Memang pada peringkat
awalnya, khilafah Uthmaniyah dikuasai oleh sultan-sultan yang berwibawa
besar dan mempunyai komitmen dengan manhaj al-Sunnah dalam perjalanan
dakwah dan jihadnya. Tetapi pada peringkat kemudiannya, muncullah para
penguasa yang menjauh daripada syariat Allah, terlalu menjaga hati
rakyat bukan Islam tetapi zalim ke atas umat Islam. Mereka hidup mewah,
berpoya-poya dan tenggelam dalam syahwat Kalau pun benar tuduhan bahawa,
golongan Saudi-Wahhabi menentang khilafah Uthmaniyah dengan cara
membebaskan Hijaz daripada penguasaan Uthmaniyah, maka golongan
Saudi-Wahhabi bukanlah satu-satunya pihak yang berbuat demikian. Selain
di Hijaz, di sana-sini timbul gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan
seperti berikut:
1. Di Mesir – Gerakan Ali Bek al-Kabir, kemudian gerakan Muhammad Ali.
2. Palestin – Gerakan pemimpin penduduk tempatan Zahir Umar.
3. Di Lebanon – Gerakan Fakhrudin Ma’ni, kemudian gerakan orang-orang Syihabiyah.
4. Di Iraq – Gerakan raja-raja Pasya, puncaknya adalah Sulaiman Pasya (Abu Laila).
5. Di Yaman – Gerakan al-Zaidiyah.
6. Di Afrika – Gerakan Sanusiyah.
Dengan menyingkap tabir sejarah
hubungan Saudi-Wahhabi dengan khilafah Turki Uthmaniyah serta
faktor-faktor kejatuhan Khilafah Islam hendaknya tidaklah timbul lagi
sebarang tuduhan bahawa, golongan Wahhabilah yang menjadi punca
kejatuhan Khalifah Islam di Turki tersebut. hendaknya kita menjadi
golongan ‘celik sejarah’ bukannya ‘buta sejarah’ sehingga timbul tuduhan
yang melulu dan tidak berasaskan kepada fakta-fakta sejarah yang
sebenar, sebaliknya berasaskan emosi semata-mata.
(Dinukil dari lampiran buku
"Siapakah Pengikut Imam Al-Syafie dan Mazhab Syafie yang Sebenar?"
Dikarang oleh Mohd Hairi Bin Nonchi dan Mohd Yaakub Bin Mohd Yunus,
Jahabersa, ms. 311-321)
1 ulasan:
ᐈ PlayAmo Casino Review for USA Players Dec 2021
The Casino Review, Bonus Codes and Promotions. 바카라 총판 Read the w88 com login Casino reviews on casinos.info and find out if 로투스 바카라 중계 PlayAmo Casino holds a valid 토토 꽁머니 license to accept USA players. 돈포차
Catat Ulasan