Follower

20080225

Dicelah - celah Kepayahan

Tiga orang pemuda bersedia untuk memetik mangga di sebuah kebun. Pemilik kebun tersebut tiba bersama peralatan. Dia meminjamkan sebuah galah yang panjang kepada pemuda pertama. Di hujung galah terdapat satu lingkaran bulat yang diikat bersamanya jaring membentuk serkup. Untuk dua lagi pemuda yang sedang menantikan peralatan mereka, dipinjamkannya kayu yang tidaklah panjang mana namun turut mempunyai serkup di hujungnya. Pemilik kebun itu menyatakan dia akan memberi upah setimpal dengan hasil pungutan mangga yang diperolehi.

Pemuda pertama memulakan kerja. Dengan mudah dia menyerkup buah-buah mangga yang bergantungan di pokok-pokok. Pemuda kedua terpaksa memanjat sedikit bagi membolehkannya memetik kerana `galah pendek' yang diberikan pemilik kebun tadi menyukarkannya untuk memetik mangga semudah pemuda pertama. Pemuda ketiga turut mencuba, dia terasa susah. Pemuda ketiga memandang betapa mudahnya pemuda pertama memetik buah-buah mangga tersebut.

Pemuda ketiga itu tidak berpuas hati dan memaki pemilik kebun yang padanya sengaja mahu menyusahkannya. Dia membuang galah kontotnya dan berlalu pergi sambil merungut. Dia persoalkan betapa tidak adilnya pemilik kebun tadi kerana sudah tentulah pemuda pertama dapat mengaut upah lebih banyak tanpa perlu bersusah payah. Dia rasa dizalimi.

Setelah selesai memungut semua mangga-mangga maka pemuda pertama dan kedua tadi pun kembali bertemu pemiliknya dengan hasil pungutan. Pemuda pertama memperoleh lima bakul mangga. Pemuda kedua sekadar memperoleh tiga bakul.

Pemilik kebun memberikan pemuda pertama upahnya. Dia kemudian menghulurkan pemuda kedua upahnya. Pemuda kedua terkejut melihat upahnya sama dengan pemuda pertama sekalipun jumlah pungutan berlainan. Rupanya pemilik kebun yang sangat pengasih dan pemurah itu memberi pemuda kedua lebih sedikit upah kerana mengambil kira kesusahan tambahan yang dirasai pemuda kedua berbanding pemuda pertama.





PEMUDA KETIGA YANG KALAH

Pemuda ketiga itu adalah gambaran orang yang tewas kerana kesusahan yang menimpa dirinya. Dia melihat orang yang lebih senang daripadanya dan menjadikan apa dilihat itu sebagai lesennya untuk merungut merasa sangat susah. Walhal pemilik kebun itu merupakan seorang yang sangat pengasih dan penyayang. Masakan dia tidak akan mengambil kira kesusahan yang dilalui lalu tiada upah lebih akan diberi.

Sekiranya ramai orang yang senang hidupnya bisa tewas dengan sikap tidak bersyukur, orang yang ditimpa kesusahan pula lazim tewas kerana merungut tentang kesusahannya. Lebih dahsyat jika diletakkan Tuhan di kandang tertuduh kerana menjadikan nasibnya susah. Tidak akan mampu terlepas daripada kedua-dua kekalahan besar itu melainkan apabila ia faham tentang fungsinya diciptakan dan faham adanya kehidupan selepas mati.

Perlunya kewujudan alam selepas mati bagi menjustifikasikan keadilan. Seorang pembunuh yang menamatkan ribuan nyawa tidaklah adil sekiranya nyawanya hanya ditamatkan sekali. Keadilan dirasakan tercapai hanya apabila nyawanya ditamatkan beribu kali sesuai dengan kesalahannya. Maka ini hanya dapat dicapai pada hari pembalasan, pada kehidupan selepas mati dan bukan di alam ini.

Atas dasar keadilan dan sifat pemurah Tuhan juga, maka sesiapa yang telah bersusah-susah untuk patuh pada Tuhannya ketika di dunia, Tuhan Maha Pemurah ingin memberi balasan nikmat yang infiniti pada merek a. Nikmat infiniti yang ingin Pencipta alam ini kurniakan mustahil boleh wujud di dalam dimensi ini yang segalanya tidak kekal. Maka sekali lagi, alam selepas kematian perlu untuk itu.

Bicara tentang fungsi. Pencipta sudah menjelaskan siapa kita dalam firman-Nya yang masyhur tentang tujuan diciptakan manusia. Allah Subhana wa Taala berfirman:


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Ku. [az-Zariyat 51:56]


Jelas manusia hanya hamba. Hamba yang melalui ujian-ujian untuk tunduk, patuh dan berserah diri kepada Penciptanya. Dewan ujiannya adalah di dunia ini ketika manusia itu hidup.`Passing mark'nya pula adalah kesabaran dan berserah diri kepada Penciptanya. Semua telah `dibocorkan' oleh Allah Subhana wa Ta'ala di dalam firmannya:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. [al-Baqarah 2:155-156]

Tubuh badan, keluarga, kesihatan, nyawa, segalanya hanya pinjaman untuk melalui ujian yang akan memberikan `markah' sebagai bekalan berjumpa Pemilik alam ini. Kehilangan ahli keluarga, kesihatan, harta dan sebagainya bukanlah bererti kita kehilangan sesuatu milik kita, tetapi kita cuma kehilangan pinjaman yang diberikan!

Setiap individu mungkin memperoleh pinjaman yang berbeza-beza kuantiti atau kualitinya untuk melalui ujian di dunia. Seperti juga galah yang dipinjamkan dalam cerita tiga pemuda pemetik mangga diatas. Seseorang mungkin diuji dengan kesihatan yang baik untuk melihat sejauh mana ia bersyukur dengan kesihatan itu dan menggunakannya untuk kebaikan sejagat. Ada pula yang mungkin diuji dengan penyakit kronik. Untuk melihat sejauh mana ia akan bersyukur dan bersabar.

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. [al-Baqarah 2:286]

Mungkin ada perkara yang kelihatan sebagai kelebihan bagi mereka yang sihat tubuh badan. Sedar atau tidak, ada juga ruang ganjaran yang tidak mampu diperolehi oleh orang sihat tetapi orang yang tidak sihat mampu menggapainya.

Tiada ulasan: