Follower

20110606

Mari Belajar Merancang,,,,,,,,,,,

Setiap insan ada impian. Setiap insan juga ada cita-cita dan matlamat. Namun sejauh mana impian, cita-cita mahupun matlamat itu mampu dicapai adalah bergantung pada diri kita sendiri.

Sesuatu impian itu tidak akan dapat dicapai tanpa perancangan yang baik. Mereka yang berjaya adalah mereka yang merancang impian mereka dengan sebaik yang mungkin. Sama juga halnya bagi mereka yang gagal. Mereka juga merancang sebenarnya. Kenapa saya berkata begitu? Mudah saja, lihat saja pada kata-kata madah pujangga yang berbunyi lebih kurang begini:

"manusia yang gagal ialah manusia yang merancang untuk gagal".

Harus juga kita ingat, tiada jalan lurus dalam mencapai matlamat, pelbagai liku-liku cabaran harus kita tempuhi dalam mencapai matlamat kita.

Bagaimana Merancang??
Dalam merancang, perkara pertama yang perlu kita pelajari ialah bagaimana merancang. Proses merancang adalah perkara yang sangat mudah, namun proses pelaksanaannya yang menyakitkan dan menyebabkan kita kadang-kadang putus asa di perjalanan.

Antara langkah yang boleh diambil dalam merancang ialah:

1. Tetapkan Matlamat
Nyatakan apakah matlamat kita? Berapa tempoh masa untuk kita capai matlamat kita? Adakah ianya matlamat jangka pendek atau jangka panjang?

Saya suka membahagikan matlamat kepada dua. Matlamat jangka pendek atau matlamat jangka panjang.
Matlamat jangka pendek ialah satu matlamat yang kita tetapkan dalam tempoh masa tertentu. Masa yang diambil untuk mencapai matlamat jangka pendek adalah singkat dan ia mudah dicapai. Contoh matlamat jangka pendek ialah matlamat kita untuk mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR mahupun SPM.
Matlamat jangka panjang pula ialah satu matlamat yang ditetapkan oleh kita sejak kecil lagi dan memerlukan jangka masa yang panjang untuk dicapai. Inilah matlamat utama kita dalam hidup ini. Contoh matlamat jangka panjang ialah cita-cita dan impian kita. 

2. Menetapkan Langkah Mencapai Matlamat
Setelah kita mengenal pasti apakah matlamat kita, maka langkah kedua harus kita jalankan iaitu dengan memikirkan langkah-langkah mencapai matlamat tersebut.

Ada yang menganggap matlamat boleh dicapai tanpa memikirkan langkah-langkah yang perlu diambil. Ini adalah tanggapan yang amat salah dan mungkin membawa kita ke jalan kegagalan. 

Langkah yang kita ambil dalam mencapai matlamat kita perlulah realistik, fleksibal dan mudah dilaksanakan oleh kita. Perlu kita ingat, tidak semestinya langkah yang kita ambil itu harus kita ikut 100 peratus. Kadang-kadang kita perlu fleksibal dengan keadaan sekeliling supaya kita dapat mencapai matlamat kita dengan mudah dan cepat.

3. Menetapkan Masalah Yang Mungkin Timbul Ketika Kita Ingin Mencapai Matlamat
Setiap matlamat pasti ada dugaan yang harus ditempuhi. Pelajar yang cemerlang sentiasa memikirkan mengenai kebarangkalian ini. Dek kerana itu, kita perlulah berfikir secara mendalam perkara-perkara yang mungkin menjadi benteng penghalang dalam kita mencapai kejayaan kita.

Kadang-kala perkara yang kita anggap kecil, merupakan perkara utama yang menghalang kita. Oleh itu, dalam usaha kita mencapai kejayaan, maka masukkanlah perkara kecil ini dalam masalah yang mungkin timbul ketika kita ingin mencapai kejayaan.

4. Menetapkan Cara Mengatasi Masalah Yang Mungkin Timbul Ketika Mencapai Matlamat
Fikirkan secara mendalam langkah-langkah yang boleh kita ambil bagi mengatasi atau mengelakkan masalah yang kita jangkakan. Masukkan sebarang kemungkinan dan langkah yang perlu.

Tidak perlu kita risau atau berfikir perkara tersebut kecil atau langkah yang diambil itu boleh dibuat tanpa berfikir, apa yang penting ialah jangkaan penyelesaian kita. Kadang-kadang apabila masalah melanda secara tiba-tiba, kita tidak dapat berfikir secara rasional. Jadi, apabila kita telah menjangkakan masalah ini, InsyaAllah kita dapat berfikir secara rasional.

Jika semua perkara di atas telah kita jalankan, maka sekarang kita perlu mulakan proses mencapai matlamat. Jalankan segala yang dirancang, InsyaAllah kita akan berjaya. 

Semoga Berjaya

Tiada ulasan: