Follower

20110908

Perkara Yang Membatalkan Solat menurut mazhab Syafei

Solat seseorang boleh terbatal dengan salah satu daripada perkara-perkara berikut: 

1- Terbatal toharah dengan kedatangan hadas semasa bersembahyang, samada hadas besar atau kecil, sekalipun tanpa sengaja.
2- Terkena najis yang tidak dimaafkan pada badan atau pakaian atau tempat sembahyang, kecuali segera dibuangkan.
3- Sengaja bercakap walau hanya dengan dua huruf atau satu huruf yang memberikan kefahaman.
4- Melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan atau minum.
5- Perbuatan (bukan sembahyang) yang banyak dan berturutan seperti menghayunkan tangan tiga kali, melangkah tiga langkah, melompat dan sebagainya. Perbuatan kecil yang berturutan tidaklah membatalkan sembahyang, seperti menggaru gatal dengan satu anak jari sahaja.
6- Ketawa.
7- Riddah
8- Hilang akal
9- Meninggalkan menghadap kiblat, seperti berpusing atau berpaling dada dalam sembahyang.
10- Terbuka aurat dengan sengaja. Kalaulah ditiup oleh angin, lalu terbuka auratnya dan ditutup dengan segera, tidaklah batal sembahyangnya.
11- Meneruskan satu rukun daripada rukun-rukun sembahyang atau berlalu masa yang membolehkan dia melakukan satu rukun sembahyang, sedangkan dia dalam keadaan syak tentang niatnya (adakah berniat atau tidak?), atau tentang syarat sah sembahyang (adakah sudah berwuduhuk atau belum?) atau tentang kaifiat niat (seperti adakah sembahyang zuhur yang aku niatkan atau asar?).
12- Menukar niat sembahyang kepada sembahyang yang lain. Tetapi jika dia menukarkan niat sembahyang fardhu kepada sunat mutlak untuk sembahyang fardhu secara berjemaah, sedangkan dia sembahyang bersendirian, maka ia tidaklah membatalkan sembahyang, bahkan ia disunatkan. Tetapi jika sembahyang fardhu yang dia sedang bersembahyang hanya tinggal satu rakaat sahaja lagi, maka ia tidak disunatkan menukar niat kepada sunat mutlak, cuma ia diharuskan sahaja.
13- Niat atau azam untuk memutuskan sembahyang.
14- Ragu-ragu samada ingin meneruskan sembahyang atau tidak.
15- Mengikat untuk memutuskan sembahyang dengan sesuatu, seperti kalau telefon berdering, aku akan batalkan sembahyang dan menjawab telefon.
16- Meninggalkan dengan sengaja mana-mana rukun sembahyang, sekalipun rukun qauli, kerana ia menghilangkan peraturan sembahyang. Tetapi kalau ditinggalakn dengan terlupa, tidaklah batal, bahkan hendaklah dilakukannya.
17- Mengulangi dengan sengaja mana-mana rukun fi’li (rukun perbuatan).
18- Mendahulukan dengan sengaja satu rukun fi’li (perbuatan) di atas rukun fi’li yang lain, kerana ia menghilangkan tertib sembahyang.
19- Mengikut imam orang yang tidak boleh menjadi imam seperti si kafir atau lelaki mengikut perempuan.
20- Terlalu memanjangkan rukun pendek, seperti memanjangkan iktidal melebihi kadar bacaan surah al-Fatihah, atau memanjangkan duduk antara dua sujud melebihi kadar bacaan tasyahhud (tahiyyat).
21- Makmum mendahului imam dengan dua rukun fi’li (perbuatan).
22- Makmum terlewat dua rukun fi’li (perbuatan) daripada imam tanpa keuzuran.
23- Sengaja memberi salam bukan pada tempatnya.
24- Sengaja turun untuk duduk tahiyyat awal setelah tertinggal (terlupa) dan sudahpun qiam untuk rakaat ketiga.
25- Mengulangi takbiratul ihram untuk kali kedua dengan niat memulakan sembahyang.

Ini adalah penerangan secara ringkas tentang perkara-perkara yang boleh membatalkan sembahyang, yang mana sepatutnya bagi seseorang yang ingin menjadi imam mempelajari dan mengetahuinya.

disalin dari:  http://tasekpauh.blogspot.com/2007/07/perkara-yang-membatalkan-solat-menurut.html

Tiada ulasan: