TAHUKAH anda apakah sebenarnya yang menjadi kekuatan pada diri manusia? Selain akalnya yang menyimpan berjuta inspirasi, ada satu kelebihan lain iaitu mata hati yang mengandung kekuatan emosi. Demikianlah Allah SWT menjadikan kita dalam bentuk paling sempurna, tetapi disebabkan oleh kejahatan diri sendiri maka manusia akhirnya jatuh pada peringkat yang cukup hina.
Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian (jika ia panjangkan umur sehingga tua atau ia menyalahgunakan kesempurnaannya itu) kami kembalikan ia ke serendah-rendah peringkat orang yang rendah."� (Surah al-Tin, ayat 4 dan 5)
Mata hati dikurniakan Allah SWT berperanan menjadi penyelamat yang memiliki kekuatan tembus pandang dalam mengesan yang hak dan batil. Hal ini pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW: "Mintalah fatwa dari hatimu, kebaikan itu adalah apa-apa yang tenteram pada jiwa dan tenteram pula hati. Dan dosa itu adalah apa-apa yang syak dalam jiwa dan ragu-ragu dalam hati."�
Mata hati yang sentiasa bersinar terang adalah milik orang yang beriman, apabila ia berada di kegelapan malam pekat sekalipun sinarnya menjadi lebih cantik dan berkilauan. Begitulah keadaannya ketika seseorang itu mengalami kesusahan, semakin bertambahnya ujian Allah, maka makin terang mata hatinya menyuluh rahsia hikmah di sebalik ujian itu, bertambahlah keyakinannya pada Allah dan akhirnya mampu menghadapi segala tekanan yang melanda jiwa.
Bagaimanakah kita sebagai umat boleh memiliki mata hati yang cantik sinarnya pada setiap keadaan dan situasi. Sesungguhnya petua yang diberikan oleh al-Quran yang sentiasa hebat sepanjang zaman menyebutkan mengenai rahsia kekuatan mata hati orang beriman dalam surah Fusshilat, ayat 30 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang- orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham) dengan berkata: Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berduka cita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu."�
Kekal dalam kebaikan. Manusia sentiasa dituntut untuk meletakkan dirinya sebagai pengendali kepada hawa nafsu dan pejuang melawan musuhnya iaitu iblis dan syaitan. Selagi mana ia berhasil menghadapi tentangan ini, maka dia dikatakan sebagai seorang abid iaitu insan yang sentiasa beribadah kepada Allah.
Bagaimanapun permasalahannya ialah apabila timbul dua personaliti dalam diri manusia, jika bersama dengan orang salih ia menjadi salih, begitu sebaliknya apabila duduk dengan si fasik ia pun berbalik menjadi fasik. Memang benarlah jika segala sesuatu di dunia ini serba ekspres dan tidak terkecuali juga dengan iman dan kufur boleh bertukar dengan sekelip mata.
Akan tetapi, antara manusia yang kecundang ini ada yang tetap teguh dan yakin hatinya, disebabkan kesungguhannya malaikat sentiasa menjadi kawan rapat yang memberi ilham, dorongan melalui perasaan serta pandangan hati. Mereka memujuk dengan khabar gembira dan janji Allah agar manusia yang beriman ini kekal dan istiqamah dalam setiap kebaikan yang dilakukan.
Ilham yang dicurahkan dalam hati manusia adalah petunjuk dari Allah SWT agar kita sentiasa berasa sakinah dalam menjalani suka duka kehidupan. Maka bersinarlah mata hati orang yang beriman dengan sifat istiqamah ini kerana sekali beriman, pantang hatinya berpaling kepada kekufuran. Antara tanda istiqamah ialah seseorang itu tidak akan meninggalkan amal salih yang biasa dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit.
Perkara ini pernah didengar oleh Abdullah bin 'Amru bin 'Ash apabila baginda Rasul SAW menasihati beliau dengan sabdanya: "Janganlah kamu seperti si polan, dulu ia mengerjakan solat malam dan sekarang ditinggalkannya. "�(Muttafaqun Ala ih).
Tanda istiqamah yang kedua ialah sikap tidak menunda amal salih kerana di sinilah syaitan banyak meletakkan ranjaunya dan akhirnya kita tertipu oleh sikap suka bertangguh dan mendahulukan kesenangan nafsu. Benarlah firman Allah SWT yang sentiasa menjadi motivasi orang beriman yang bermaksud: "Dan bersegeralah kamu menuju keampunan Tuhanmu dan memasuki syurga yang luasnya seperti langit dan bumi. Ia disediakan bagi orang yang bertakwa (kepada Allah)."� (Surah Ali Imran, ayat 133)
Tidak banyak berangan dan muhasabah diri juga adalah tanda istiqamah, maksudnya apabila kita cepat berpuas hati dengan amal salih, meletakkan syurga menjadi hak kita, walhal dosa belum dibasuh, kezaliman dengan sesama sendiri masih berterusan dan bekal amal tiada jaminan Allah terima atau tidak kerana keterbatasan ilmu dan kurangnya keikhlasan.
Jangan bersedih. Hati yang bersinar ada pada wajah yang reda, ceria dan gembira dengan apa saja ketentuan Tuhan. Kesedihan dan kerisauan boleh menjejaskan kesihatan hati kerana ia tanda tidak reda dengan ketentuan Allah. Semestinya orang beriman dengan Allah dan Rasulnya ketika dirinya dilanda musibah meyakini dengan sepenuh hati bahawa ada tiga keuntungan di sebalik ujian Allah iaitu, pembersih dosa, janji pahala di akhirat dan mendapat pengganti lebih baik daripada apa yang diuji itu secepatnya di dunia ini.
Sebagai contoh, seorang hamba Allah yang terpaksa bermadu, pada mulanya beliau berasa sangat terluka dengan ujian menimpa dirinya tetapi beliau kemudian cuba untuk bertenang dan serta banyakkan bersabar lalu memulakan langkah baru dalam hidupnya. Ia seterusnya menjadi seorang yang lebih bijak, matang dan realistik dalam menghadapi musibah itu.
Seterusnya kesabarannya dan sikap tenangnya itu membuahkan hasil apabila suami yang dulu bersikap berat sebelah kini menyesali perbuatannya. Semakin banyak pula keistimewaan yang ditunjukkan oleh Allah kepada peribadi isteri tuanya itu sehingga beliau akhirnya sedar akan kesilapannya dan akhirnya kembali menghormati dan menyayangi isterinya. Banyak lagi kisah sedih dalam memori kita yang mampu mendewasakan dan mematangkan diri kerana kita memiliki hati bercahaya yang mampu menyuluh dari kedalaman serta kegelapan jurang ujian dan musibah.
Kembalilah kepada jalan yang lurus dan tenang hingga ke penghujungnya, di sisi Allah mendapat pahala. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu. Mereka telah ditimpa kemusnahan harta benda dan serangan penyakit serta digoncangkan oleh ancaman musuh, sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersamanya. Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat."� (Surah Al-Baqarah, ayat 214)
INTIPATI
Mata hati dikurniakan Allah SWT menjadi penyelamat dan memiliki kekuatan tembus pandang dalam mengesan yang hak dan batil. Mata hati yang sentiasa bersinar adalah milik orang yang beriman, apabila ia dalam kegelapan malam pekat sinarnya menjadi lebih cantik dan berkilauan. Manusia dituntut untuk meletakkan dirinya sebagai pengendali hawa nafsu dan pejuang melawan musuhnya iaitu iblis dan syaitan. Antara tanda istiqamah seorang Muslim ialah tidak meninggalkan atau menunda amal salih yang biasa dikerjakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan