Follower

20090407

UJIAN KESUSAHAN -DIBENCI OLEH NAFSU

Dalam kehidupan ini, kebanyakan manusia takutkan kesusahan dan ujian. Mereka takut miskin. Mereka takut jadi susah. Mereka takut jatuh sakit. Mereka takut kehilangan harta benda. Mereka takut turun pangkat atau hilang jawatan. Mereka takut dihina. Mereka takut dipulaukan dan sebagainya. Kalau boleh, manusia ingin selalu senang, kaya, sihat, tidak diganggu atau dizalimi dan sentiasa hidup dalam keadaan tenang, aman, damai dan harmoni.

Namun, hidup di dunia tidak akan sunyi dari ujian dan kesusahan. Selagi dunia bernama dunia, ujian dan kesusahan akan tetap ada. Ia adalah adat dan resam hidup. Hadith ada menyebut:

Maksudnya: “Dunia itu negara bala’ dan ujian”.

Sebenarnya, yang benci dan takutkan kesusahan dan ujian itu ialah nafsu. Nafsu tidak suka pada kesusahan. Nafsu tidak suka pada ujian, pada lapar dan dahaga, pada kemiskinan, pada kemelaratan, pada sakit, pada mujahadah, dan pada apa sahaja yang tidak sesuai dengan kehendak dan keinginannya.

Nafsu sebenarnya lebih jahat dan berbahaya dari syaitan. Syaitan boleh dihalau tetapi nafsu berada dalam diri kita. Nafsu adalah jalan bagi syaitan. Kalau nafsu kita terdidik, maka sempitlah jalan syaitan untuk menggoda dan menipu kita. Tetapi kalau nafsu tidak terdidik, maka luaslah jalan syaitan.

Hendak mendidik nafsu bukan mudah. Nafsu pernah angkuh dan sombong dengan Tuhan. Dia pernah berkata pada Tuhan:

“Engkau-engkau, aku-aku.” Dia pernah direjam seribu tahun dalam neraka. Nafsu hanya takut dengan Tuhan. Dia tidak takut dengan makhluk.

Oleh itu, hendak mendidik nafsu, kita perlu ada rasa cinta dan takut dengan Tuhan. Kita perlu bersandar kepada kehebatan dan kekuasaan Tuhan. Kalau rasa-rasa ini tidak ada, maka tidak ada apa yang akan dapat mendorong dan menahan atau menghalang nafsu. Rasa cinta pada Tuhan itu akan mendorong nafsu supaya menjadi tenang dan jinak. Rasa takut dengan Tuhan pula akan menahan nafsu dari menjadi terlalu rakus, liar dan tidak terkawal.

Untuk mendidik nafsu, hendaklah kita berbicara dengannya. Katakan pada nafsu begini: “Hai nafsu! Aku tahu engkau itu jahat. Tapi kalau Allah tolong aku, engkau pun aku boleh hadapi. Walaupun aku ini tidak tahan diuji, tapi kalau aku diuji aku akan berserah sahaja kepada Tuhan.”

Nafsu kalau tidak dididik, diuji, ditekan, dikekang dan disakitkan, dia akan berbunga. Kemudian dia akan berbuah. Buah nafsu ialah segala sifat-sifat keji dan mazmumah seperti sombong, angkuh, megah, riak, pemarah, jahat sangka, tamak, hasad dengki, panas baran, bakhil dan lain-lain lagi.

Kalau tidak ada ujian dalam hidup, nafsu akan jadi subur dan iman akan jadi lemah. Iman hanya akan meningkat dan nafsu hanya akan tunduk melalui ujian dan kesusahan. Itulah hikmah Tuhan datangkan ujian. Untuk menyuburkan iman dan melemahkan nafsu. Jelas bahawa ujian itu adalah tanda kasih sayang Tuhan.
Allah SWT ada berfirman:

Maksudnya: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan berkata: ‘Kami telah beriman,’ sedang kamu tidak diuji lagi.” (Al-Ankabut: 2)

Untuk selamat di akhirat, kita kena membaiki diri. Cara untuk membaiki diri ialah dengan bermujahadah dan dengan melalui berbagai-bagai ujian dan mehnah dari Allah.

Pada hakikatnya, tidak ada ujian yang berat ataupun ringan. Yang ada hanyalah kuat atau lemahnya hubungan kita dengan Tuhan. Orang yang kuat hubungannya dengan Tuhan, ujian yang berat dirasakan ringan. Orang yang lemah hubungannya dengan Tuhan, ujian yang ringan pun terasa berat.

Ujian adalah untuk orang baik dan juga orang jahat. Untuk orang beriman dan tidak beriman atau lemah iman. Malahan orang baik dan beriman lebih banyak diuji dan lebih berat pula ujiannya. Para nabi dan rasul adalah mereka yang paling berat diuji. Kemudian para wali dan orang-orang soleh. Kemudian orang-orang awam  lain mengikut peringkat iman yang ada pada mereka. Orang baik diuji untuk meningkatkan darjat mereka.

Orang jahat diuji untuk menginsafkan dan menghapuskan dosa – dosa mereka. Kalau pun mereka bertaubat, belum tentu diterima taubat mereka itu tetapi ujian dan mehnah boleh menghapuskan dosa-dosa mereka sekiranya mereka sabar dan redha.

Jalan ke syurga itu penuh dengan ujian, kesusahan dan penderitaan. Jalan ke neraka pula penuh dengan kesenangan dan nikmat. Justeru itu, menempuh dan menjalani ujian dan kesusahan dari Allah menjadi syarat untuk ke syurga. Ada riwayat di dalam hadis seperti berikut:

Setelah Allah mencipta syurga dan neraka, maka Allah perintahkan para malaikat pergi melihatnya. Sekembali para malaikat, Allah bertanya apa pendapat mereka. Malaikat menjawab: “Tidak akan ada manusia yang akan masuk neraka kerana seksaannya sangat pedih dan dahsyat. Semua manusia akan masuk syurga kerana nikmat di dalamnya sungguh indah”.

Allah Taala kemudian memerintah para malaikat untuk melihat untuk kali kedua. Sekembalinya para malaikat, Allah bertanya sekali lagi apa pendapat mereka. Kali ini malaikat menjawab: “Tidak akan ramai manusia yang dapat masuk ke syurga. Ramai manusia akan masuk neraka. Kerana syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang sungguh menyakitkan dan menyusahkan; dan neraka itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang seronok, indah dan mengasyikkan.”

Oleh itu, kalau kita diuji, itu tanda Tuhan telah meletakkan kita di atas jalan menuju ke syurga. Kita patut banyak – banyak bersyukur. Kalau Tuhan biarkan kita lalai dan berfoya – foya dan bergelumang dengan dosa dan noda, itu tanda kita sedang berada di atas jalan menuju ke neraka. Kita patut cepat-cepat sedar dan bertaubat.

Kalau nafsu sangat benci pada ujian dan kesusahan, fitrah pula sebaliknya. Fitrah sangat ingin rasa bertuhan dan suka bersusah – susah kerana Tuhan. Fitrah rasa puas kalau disusahkan atau disakitkan asal ia dapat rasa hampir dan dekat dengan Tuhan.

Apabila nafsu dapat ditundukkan dan dijinakkan, maka fitrah kita akan menjadi lebih berperanan. Bila fitrah sudah berperanan dan jiwa telah hidup, maka dia akan terhibur dan merasa bahagia dengan ujian dan kesusahan. Bila diuji, dia terasa Tuhan itu dekat dan hampir dan kuat pergantungannya dengan Tuhan. Roh jadi meriah dan penuh dengan zikrullah. Bila tidak diuji, rasa bimbang dan cemas takut-takut Allah telah melupakan dia.

Ini berlaku kepada para sahabat. Kalau sehari mereka tidak diuji oleh Tuhan, mereka mula bimbang. Kalau dua hari tidak diuji, mereka mula takut. Kalau tiga hari tidak diuji, mereka mula cemas takut-takut Tuhan telah melupakan dan tidak peduli kepada mereka lagi.

Kita boleh ukur diri kita dan kita boleh tahu dalam diri kita nafsu atau fitrah kitakah yang lebih berperanan. Nafsu kitakah atau fitrah kitakah yang lebih kuat. Kalau kita sangat terdorong dan terangsang dengan perkara-perkara yang seronok, yang mengasyikkan, melalaikan, berfoya-foya, seronok dengan dunia dan takut dan benci kepada ujian dan kesusahan, maka kita sebenarnya kuat nafsu. Tetapi kalau kita banyak terdorong kepada
akhirat, rela bersusah-payah dan menderita kerana Allah, tidak takut ujian dan kesusahan dan rasa manis dan indah pula dengan ujian, maka fitrah kita sudah berperanan. Oleh itu bermujahadah,
menekan, mengekang, menyakitkan dan mendidik nafsu sangat penting. Nafsu itu mesti dilawan, jangan dilayan.

Baru dia akan tunduk. Kalau nafsu dilayan, dia akan subur dan melonjak-lonjak. Jangan beri nafsu apa yang dia mahu (yang haram). Beri dia apa yang dia benci (yang baik).

Orang – orang soleh, kalau diuji, mereka sabar dan tidak mengadu. Sabar itu sudah tentu ada sakitnya. Orang – orang muqorrobbin (yang hampir dengan Tuhan), kalau diuji mereka redha. Redha itu kurang sakitnya kerana ada rasa kerelaan dan kepuasan. Orang – orang siddiqin (yang benar) pula merasa bahagia dan terhibur dengan ujian. Itulah makanan bagi jiwa mereka.

Kalau nafsu sangat benci pada ujian dan kesusahan, fitrah pula sebaliknya. Fitrah sangat ingin rasa bertuhan dan suka bersusah-susah kerana Tuhan". 

sama2lah kita cuba sedaya-upaya mempertingkatkan kualiti diri kita dr masa ke semasa......  Petikan dr inteam website.

3 ulasan:

iconan87 berkata...

Alhamdulillah, saya merasakan bebnan bata di otak ini sudah kurang sdkit...he,he,he,,,,

Ahmad Fahmi berkata...

owh,,, yeke?? syukurlah kalau begitu..

Haslina berkata...

salam..
time kasih atas tazkirah anda...
bernas...