Follower

20110906

Teringat Kisah Keluarga

Hari ini, saya baru sahaja menghantar adik mendaftarkan diri ke Universiti Malaysia Terengganu untuk melanjutkan pelajaran bagi mendapatkan segulung ijazah. Terasa bangga dalam diri apabila teringat yang adik saya yang muka sama seperti saya ni sudah melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda sama seperti diri ini.

Selesai menghantar adikku Najib ini, diri ini terus bertolak pulang ke tempat belajar ku, IPG Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu. Semasa sedang memandu kereta, diri ini terfikir beberapa perkara. Perkara yang menjadi kenangan yang bukan saja mengusik jiwa saya, tapi juga keluarga saya.

Sepanjang hidup ini, saya sentiasa sedar yang saya hanyalah anak seorang tukang sapu. Ayah saya tukang sapu DBKL, mak saya tukang sapu sekolah. Tidak besar pekerjaan ibubapa saya. Adik beradik pula seramai 9 orang. Satu bilangan yang amat besar bagi sesebuah keluarga yang menetap di pinggir bandar KL iaitu Petaling Jaya.

Pernah mak saya dihina dengan perkataan, "Anak tukang sapu, mana boleh berjaya" oleh seorang pengetua yang sepatutnya memberikan semangat kepada anak-anak bangsanya. Diri ini dan keluarga, terasa dengan hinaan ini.

Keluarga kami bukan saja menjadi mangsa hinaan pengetua yang "bertamadun" ini, Tapi juga oleh kaum kerabat keluarga kami yang memandang sinis dengan keluarga besar kami ini. Walaupun bukan semua ahlinya berperangai seperti itu, tapi diri ini tetap juga terasa. 

Hati ini kemudian nekad untuk membanggakan keluarga. Berharap supaya berjaya hendaknya. Berkat doa daripada ibu bapa, Alhamdulillah, sekarang ini dalam semester akhir Ijazah Sarjana Muda Perguruan. 

Hari ini ketika adikku Najib mendaftarkan diri, diri ini terasa ingin menjerit dan menghina mereka yang pernah mernghina keluarga kami. Cuba anda bayangkan, anak-anak tukang sapu seramai 9 orang, semuanya berjaya dididik menjadi manusia.

Anak pertama dan kedua, berjaya belajar mendapat diploma. Anak ketiga, keempat dan keenam, ada sijil yang boleh dibanggakan. Anak kelima dan ketujuh, dalam proses mendapatkan segulung ijazah. Dan anak kelapan dan kesembilan, masih di bangku sekolah.

Bukan ingin membangga diri, tapi ingin mengajak kita semua berfikir, 

 BUKAN KEKAYAAN YANG MEMBAWA KEJAYAAN DAN KEBAHAGIAAN 
TAPI KEAZAMAN, PERPADUAN DAN KECEKALAN YANG MAMPU MEMBAWA KITA MENDAKI PUNCAK KEJAYAAN DAN KEBAHAGIAAN.

Sekiranya hari ini, saya berjumpa dengan pengetua yang menghina mak saya, saya nak katakan kepada beliau:

"Apa pendapat anda dengan anak tukang sapu ini?"

1 ulasan:

cikpuanNaiz berkata...

anda mampu berjaya...!