Follower

20090309

Andai kematian datang,,, ia tidak mengira waktu.....

“Kau mahukan apa?”

Aku terkesima mendengar pertanyaan itu. Apa lagi yang aku mahu selama ini? Aku sudah ada mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, hidung untuk menghidu, mulut untuk bersuara..meluahkan semua rasa tidak puas hatiku, dan aku masih tetap ada udara untuk dihirup….menyedut jauh ke dalam kerongkongku, memberiku kekuatan, meneruskan perjuangan sebuah kehidupan milikku. Apa lagi yang aku mahu agaknya? Masih jauh perjalanan, langkahku ini.

“Tidak bersyukurkah engkau dengan semua nikmat pemberianNya?”

Sekali lagi aku terkesima. Andai hadir sejuta persoalan yang lain, yang satu ini jua yang akan menghambat mindaku. Apakah tanda bersyukur? Cukupkah syukurku? Apakah aku masih lagi alpa…lupakan lafaz syukur dan terus tegak bergelandangan dengan sebuah kehidupan yang tidak diredhaiNya? 

“Apa lagi yang kau pinta dariNya?”

Ahh…cukup aku terasa dengan persoalan ini. Ya…aku masih tidak puas hati dengan apa yang aku ada. Aku masih jua meminta bermacam-macam dariNya Aku mahu kereta besar, Mitsubishi Lancer umpamanya, atau paling bawah pun, aku mahu Lotus Elise yang memang menjadi impianku. Skyline, yang ada di dalam 2 Fast 2 Furious itu juga tidak kurang menarik minatku. Enjinnya, ngauman ekzosnya sudah membuatkan aku merasa teringin benar untuk memilikinya.

Rumah besar, kereta besar…dan aku jua mahu memiliki sebuah keluarga bahagia. Pasanganku mestilah orang hebat, cantik, menarik dan anggun. Ada emas segunung di dalam peti besinya, mesti mampu menyara semua keinginanku, aku hendak ke Switzerland, aku mahu keNew Zealand, Scotland…California….ahh….seperti terbayang-bayang kegebuan bunga tulip pula….Paris, Italy……semuanya sering menerjah ruang impianku. Itujua aku pinta dariNya. Rezeki yang murah, tapi kenapa bukan untuk tujuan beribadat kepadaNya?

“Kau mahu bawa apa berjumpa Dia nanti?”

Ermm…aku tidak pernah terfikir akan ada soalan sebegini. Perlukah aku jawab? Serasa, akhlakku baik. Aku selalu menjemput rakan-rakan makan di rumahku, aku selalu menghadiahkan pelbagai barang berharga kepada mereka, duit, itu kan sedekahku. Malah, selalu juga aku teringin membawa mereka melancong bersamaku. Mereka menyukaiku, bukankah itu pun sebahagian ibadahku kepadaNya? Memang, yang merempat di tepi jalan itu tidak pernah aku kisahkan. Yang bertonggok di hujung-hujung kaki lima itu tidak aku pedulikan. Anak-anak kecil lagi yatim di mana-mana semuanya aku abaikan. Aku mual, jijik melihat keadaan mereka. Pakaian mereka kotor, bau mereka saja sudah cukup untuk meloyakan aku. Salahkah aku sedekahkan, memberi jamuan kepada kawan-kawanku? Mereka lebih sempurna, lebih bersih dari mereka semua yang tidak pernah mandi itu. Kan itu jua ibadah?

“Bila kau bersolat?”

Kenapa persoalan begitu yang perlu ditanya. Aku kan masih muda. Usiaku masih panjang. Esok lusa ada peluang lagi untuk bertaubat. Masih panjang tempoh waktu untukku bersolat. Lagipun, selalunya aku tidak cukup masa untuk bersolat. Ke karaoke saja, aku sudah perlukan masa sekurang-kurangya tiga jam, berjalan dengan buah hati lagi. Bersukan lagi. Nantilah, tunggu aku ada masa, aku akan bersolat. Lambat lagi mati kan?

“Apa yang kau fikir, bila ajalmu akan tiba sepuluh detik lagi?”

Iskkk…takkanlah secepat itu. Kan aku masih sihat walafiat. Aku sedang duduk di atas kerusi ni. Takkanlah aku akan mati secepat itu. Janganlah kau takutkan aku, aku masih belum mahu mati lagi. Semalam pun aku sudah berjumpa doktor peribadiku, dia mengesahkan kesihatanku. Aku tak ada diabetes, malah sakit jantung jauh sekali. Tekanan darahku pun normal. Takkanlah aku akan mati. Kesihatanku terjaga elok. Pemakananku sempurna…ahhh, aku tidak perlu bimbang kerana aku tahu aku akan hidup seribu tahun lagi. Bila dah nak sampai ajal nanti, aku akan bertaubat. Masih sempat…

Kuala Lumpur 12 Rabiul Awal 1430H – Seorang lelaki disahkan telah meninggal dunia di dalam kediamannya di Puncak Alam. Lelaki itu disahkan mati lemas apabila air yang sedang diminumnya menerjah kerongkongnya dan menyumbat saluran pernafasannya. 

Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un…..dari Allah kita datang, kepadaNya jua kita akan dikembalikan….apakah masih ada matlamat hidup yang lain, sedangkan itu matlamat utama dalam kehidupan kita? bertemuNya….dengan redhaNya….

Tiada ulasan: